BERKERJA DARI RUMAH: Kisah Kejayaan

Duit Di Dalam Beg


Lima tahun dahulu, selepas beberapa lama berhempas pulas mengejar kejayaan dalam kerjayanya sebagai editor fesyen, wanita cekal ini mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengeluarkan label beg tangan wanitanya sendiri yang berjenama Flowerdrum – nama yang diilhamkan daripada sebuah poster tayangan muzikal di The Actor’s Studio.

Dia menjalankan operasi perniagaan ini di pangsapurinya di Bangsar di mana dia tinggal dengan teman hidup dan anjing peliharaannya. Walaupun pengalamannya dalam bidang ini adalah terhad, dia tidak mudah gentar dalam merealisasikan impiannya. Kini Rina telah berjaya, malah telah mempunyai pasaran di dalam dan luar negeri. Dan kesemuanya ini dilakukan dari rumahnya sendiri! 

Seperti kebanyakan mereka yang bekerja membuat produk kerjatangan di rumah, Rina bermula dengan mereka dan menjahit beg tangannya sendiri. Hingga kini dia masih lagi menjahit begnya sendiri, tetapi apabila perniagaannya bertambah besar, Rina menghantar sebahagian daripada rekaannya untuk dijahit oleh “pasukan pengeluar”nya di Kelang. Sebagai persiapan bekerja di rumah, dia telah mendapatkan sebuah komputer untuk e-mel, sebuah mesin jahit industri (yang tidak digunakan!) dan mesin ringkas yang digunakannya untuk membuat kesemua contoh rekaannya. Selain daripada itu, fabrik, kertas dan bahan-bahan lain bersepah di sana sini.

Idea membuat beg tangan daripada kain datang daripada minatnya kepada fabrik. “Saya gemar mengumpul fabrik. Apabila saya hendak membuka perniagaan, saya mengambil keputusan untuk membuat sesuatu yang berkaitan dengan fabrik dan fesyen. Tetapi saya tahu saya tidak mahu membuat baju. Oleh itu, saya mengambil keputusan bahawa saya akan membuat beg tangan wanita,” katanya. “Ibu saya seorang yang sangat cerewet tentang gaya dan memori terawal saya ialah pergi membeli-belah dengannya. Saya sukakan semua aspek mengenai fesyen dan saya sangat gemarkan beg tangan dan suka membuatnya,” tambahnya lagi.

Menyedari bahawa mereka yang meminati beg fabrik tidak mempunyai banyak pilihan di sini, Rina merasakan bahawa dengan memperkenalkan beg fabrik dia dapat memenuhi permintaan di pasaran. Tambahan pula, beg-beg buatannya adalah unik dan bukannya dikeluarkan dalam jumlah yang banyak.

Dia bermula dengan membuat beg daripada fabrik yang telah dikumpulnya sejak kecil lagi. Dia masih ingat bagaimana teruknya jahitannya pada peringkat awal, tetapi latihan dan kesungguhannya kini mendatangkan hasil. Rina mengaku bahawa muzik, yoga dan percutian adalah sumber inspirasi yang penting bagi rekaannya. Biasanya dia bermula dengan fabrik, dan mendapat idea dengan memerhatikan fabrik tertentu yang ada di sekelilingnya. Kemudian, dia akan melukiskan rekaan dan menumpukan perhatian pula kepada perincian lain seperti poket, panel dan rekabentuk. Kemudian dia membuat contoh, menggunakan mesin jahit ringkas di rumahnya. Apabila dia telah berpuas hati, dia akan mula menghasilkannya secara banyak. “Saya rasa bahawa apa yang penting ialah minat; perkara-perkara lain akan timbul jika minat itu ada,” kata Rina.

Rekaan Rina yang ceria dan pelbagai memenuhi kehendak pelbagai jenis pelanggan, dari yang muda hingga yang tua. Setiap dari mereka mencari sesuatu yang berlainan. Dia meletakkan harga antara RM10 – RM180, di mana harga yang tinggi adalah bagi rekaan khas yang dibuat sekali sahaja. “Beg-beg saya tidak sesuai bagi mereka yang berhati lembut,” katanya sambil tersenyum.

Rina menekankan bahawa pemasaran adalah perkara yang paling penting dalam mana-mana perniagaan. Dia sangat bernasib baik kerana beg-beg rekaannya telah diperagakan di dalam banyak majalah wanita tempatan. “Sebelum saya memulakan label Flowerdrum, saya bekerja sebagai editor fesyen bagi sebuah majalah. Kini, ramai di antara rakan-rakan saya dalam industri ini yang bermurah hati menonjolkan beg-beg saya di majalah mereka seperti di majalah ‘Her World’ dan ‘Cleo’. Ini sangat penting bagi saya. Adalah sukar untuk menembusi pasaran tanpa pendedahan seperti ini,” terangnya.

 

Rina juga menubuhkan sebuah laman web tiga tahun lalu untuk memperagakan produk buatannya. Walaupun begitu, ia bukanlah sumber pemasaran utama baginya. Dia mendapati bahawa pemberitahuan melalui mulut adalah lebih efektif. Bercakap mengenai pemasaran di luar negara, Rina berkata, “Saya terpaksa berjalan di jalan-jalan di UK dan pergi dari satu kedai ke satu kedai dengan beg tangan saya dan bertanya jika mereka berminat untuk menjual beg-beg tangan saya. Saya telahpun mendapat beberapa peruncit yang berminat dan sekarang saya hanya perlu membungkus beg-beg ini ke dalam kotak dan menghantarnya melalui mel udara dan menjualnya pada harga borong.”

 

Semasa dia baru bermula, Rina membuat jualan empat kali setahun. Tahun lepas, dia membuat lapan jualan memandangkan terdapat lebih permintaan daripada pelanggan. Sesi jualan ini dibuat di pangsapurinya sendiri. Mereka yang dijemput ke sesi jualannya kebanyakannya adalah rakan-rakan dan kenalannya. Dari segi puratanya, dia menerima 50 pelanggan menghadiri sesi jualannya pada setiap kali. Dia mempunyai seorang rakan yang membantunya dalam sesi ini kerana pada peringkat awalnya keadaan boleh menjadi begitu sibuk.  Setiap sesi jualan hanya bertahan selama tiga jam kerana kebanyakan rekaannya diambil dengan cepat, dan hanya sedikit sahaja pilihan yang tinggal bagi mereka yang datang lambat. Biasanya, sesi jualan itu berakhir dengan sesi berbual-bual tentang kehidupan sosial semasa masing-masing.

 

Setakat ini, Rina dapat mengekalkan perniagaan yang stabil memandangkan kebanyakan pelanggannya adalah pelanggan tetap. Dia menyimpan senarai nama mereka yang berminat dengan rekaannya dan sentiasa memaklumkan mereka tentang sesi jualan yang akan datang. Dia juga menghantar gambar beg-begnya melalui e-mel supaya mereka dapat melihat rekaan terbarunya. Selain daripada dari rumahnya, seleksi beg Flowerdrum boleh juga didapati di Mori Pin di Bangsar Shopping Centre.

 

Rina menjual beg-beg tangannya bukan sahaja kepada pelanggan tetapnya, tetapi juga kepada peruncit di luar negara, terutamanya di UK di mana beg Flowedrum rekaannya dijual di ARC, NOOD dan SCHINDLER  di Manchester. Pada masa ini, dia juga mempunyai pasaran di Copenhagen, Denmark.

 

Selain daripada membuat beg Flowerdrum, Rina juga meluangkan masa mengedarkan beg Radio Aktive, satu label tempatan yang mengandungi pelbagai rekabentuk. Label itu adalah milik rakannya, Peter Lim yang juga merupakan pemilik butik Ruffey. Rina membantu Peter memasarkan begnya di Eropah.

“Ia mengambil masa yang agak lama, tetapi taraf hidup saya telah bertambah baik!” Rina juga berkata bahawa “Menjalankan perniagaan saya sendiri, saya tidak mempunyai masa untuk pendapatan tambahan.”

Langkah-Langkah Membuat Beg, Dari Mereka Konsep Hinggalah Memasarkannya

  • Fikirkan tentang satu rekaan.
  • Masa di mana beg itu dijadualkan akan berada di pasaran. Contohnya, adakah ia akan dijual semasa Krismas atau Tahun Baru Cina.
  • Fikirkan tentang fabrik yang sesuai bagi setiap rekaan.
  • Buat satu contoh (satu beg) bagi pasukan pengeluar sebagai contoh.
  • Tunjukkan rekaan itu kepada pasukan pengeluar.
  • Ambil gambar digital bagi setiap rekaan.
  • Tekan gosok dan bungkuskan beg-beg itu.
  • Hantarkannya kepada penjual.

Satu nasihat berharga dari Rina ialah: “Jangan cuba pergi lebih jauh daripada apa yang anda boleh kawal.”

 

“Ramai orang yang mencadangkan saya menjual beg-beg saya melalui Internet. Tetapi saya tidak mahu kerana bayaran melalui kad kredit agak leceh, dan juga kebimbangan mengenai penipuan. Saya dapat banyak permintaan dari pelanggan luar dari Lembah Kelang. Tetapi saya tetapkan kaedah pembayaran dan saya hanya menghantar barang itu hanya apabila cek itu telah lepas. Ini adalah baik bagi saya kerana saya tidak perlu risau kalau-kalau tidak mendapat bayaran bagi produk saya,” katanya. Untuk mengingatkan orang lain supaya berhati-hati, dia menceritakan tentang seorang rakannya yang melaburkan banyak wang dengan menempah kasut dari negara Cina dengan harapan untuk menjualnya di Malaysia. Tetapi apabila tempahannya sampai, dia mendapati hanya kasut sebelah kiri sahaja yang dihantar.

 

“Inilah sebabnya saya lebih suka menjalankan perniagaan mengikut kemampuan saya sendiri. Setiap orang tentu sekali terpengaruh untuk pergi lebih jauh dengan harapan untuk mendapat lebih banyak keuntungan. Tetapi berurusan dengan peniaga dari negara lain bermakna kita harus faham budaya dan cara mereka menjalankan perniagaan. Jika kita tidak mengambil kisah tentang perkara itu, akhirnya kita juga yang akan rugi,” nasihat Rina.

 

Menurutnya, formula bagi kejayaan dalam mana-mana perniagaan dari rumah ialah “Anda harus percaya dengan produk anda.” Jika seseorang menceburi sesuatu bidang perniagaan hanya kerana ia adalah cara hidup semasa pada masa itu, maka mereka akan mendapati bahawa perniagaan itu tidak akan berjaya.

 

“Bukannya mudah untuk membuat jualan. Tetapi anda harus tekun dan berdisiplin. Jika tidak, situasi kewangan anda akan kucar-kacir. Sebagai seorang ahli perniagaan, anda haruslah membahagikan masa anda dengan betul dan mengikut jadual yang anda tetapkan sendiri. Bekerja dalam suasana selesa di rumah sendiri mengundang pelbagai jenis gangguan. Tetapi anda hruslah ingat bahawa anda adalah majikan kepada diri anda sendiri. Jika anda tidak menghasilkan produk, tiada pendapatan yang masuk.” Bagaimana dia mengatasi gangguan? “Mendengar muzik membuatkan otak saya bergerak dengan lebih kreatif. Latihan Yoga juga memberi inspirasi bagi saya bekerja, selain memberi tenaga dan melapangkan fikiran,” menurutnya.

“Mempunyai label beg saya sendiri merupakan perkara yang paling memuaskan dalam hidup saya. Saya mempunyai kebebasan untuk bekerja sebagaimana saya inginkan dan untuk membuat keputusan sendiri tentang bagaimana saya mahu menjalankan perniagaan ini,” katanya sebagai penutup. 




This article is printed from http://www.ehomemakers.net.
The url for this article is