KIRA-KIRA dua peratus individu berusia 40 tahun ke atas boleh mengalami penyakit glaukoma. Di Malaysia, satu daripada tujuh individu yang buta adalah mereka yang mengalami masalah glaukoma.
Glaukoma ialah sejenis penyakit mata yang disebabkan oleh tekanan cecair yang terlampau tinggi di dalam bola mata seseorang.
Tekanan yang tinggi ini akan merosakkan sel retina dan serabut saraf sehingga ruang penglihatan menjadi semakin sempit dan akhirnya akan terus menjadi buta.
Bagi mata glaukoma, tekanan cecair di dalam bola mata meningkat kerana saluran cecair tersekat akibat kerosakan saraf.
Bagi mata sihat (normal) pula, pengaliran masuk keluar cecair di dalam bola mata adalah seimbang.
Glaukoma boleh dibahagikan kepada dua, iaitu glaukoma akut dan glaukoma kronik.
Glaukoma akut:
· Glaukoma akut menyerang secara tiba-tiba, mengurangkan penglihatan, menyebabkan mata merah dan kesakitan di dalam dan sekitar bola mata.
· Rawatan awal boleh menyelamatkan penglihatan anda.
Glaukoma kronik:
· Glaukoma kronik melarat perlahan-lahan tanpa terasa sakit atau kabur penglihatan.
· Mangsanya tidak menyedari sehingga peringkat akhir dan selalu lambat mendapatkan rawatan.
Tanda-tanda glaukoma:
Di antara tanda-tanda glaukoma kronik ialah:
· Ruang penglihatan menjadi semakin kecil.
· Penglihatan kabur dan rabun.
· Kesukaran menyesuaikan penglihatan dalam keadaan gelap.
· Kerap menukar cermin mata kerana penglihatan masih tidak terang.
Rawatan:
- Apabila seseorang itu mengalami tanda-tanda glaukoma kronik, mereka perlu mendapatkan rawatan segera.
- Rawatan awal boleh mencegah kehilangan penglihatan.
- Rawatan untuk glaukoma kronik adalah mudah dan tidak berbahaya iaitu melalui ubat titisan mata, pil dan pembedahan.
- Ubati titis mata dan pil membantu mengurangkan tekanan di dalam bola mata. Bentuk rawatan ini perlu dijalani dengan rapi dan mungkin sepanjang hayat.
- Pembedahan diperlukan jika rawatan ubat titis dan pil tidak dapat mengawal tekanan yang tinggi di dalam bola mata.
- Pembedahan akan melicinkan pengeluaran cecair dari bola mata.
Rawatan susulan:
Pesakit glaukoma perlu mengikuti rawatan susulan rapi untuk menjalankan pemeriksaan berikut:
· Ruang penglihatan.
· Daya penglihatan.
· Pemeriksaan pada bola mata.
· Tekanan di dalam bola mata.
Pemeriksaan itu dijalankan pada setiap lawatan untuk menentukan rawatan dan mengawal penyakit itu daripada melarat.
Sumber Dari www.bharian.com.my