A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

BERKERJA DARI RUMAH: Kisah Kejayaan

Nilai Kertas


Setiap kali Saloma Tan terlihat surat khabar lama atau majalah bersepah di mana-mana, dia akan membayangkan bakul atau bekas bunga yang cantik. Malah ibu tunggal yang berumur 37 tahun ini menampung hidupnya melalui bahan yang dianggap tidak berharga bagi kebanyakan orang.

 

Dengan mahirnya dia mengeluarkan helaian suratkhabar dan majalah sebelum dipotong menjadi jalur-jalur panjang dan dianyam menjadi bakul yang berlainan saiz, bekas bunga, topi, penutup makanan dan balang.

 

Sekali pandang barang-barang ini mungkin kelihatan tidak kuat, tetapi selepas disalut syelek dan barnis, ia berubah menjadi barang hiasan yang menarik dan utuh. “Mereka yang pertama kali melihat barang-barang ini menyangka ia dibuat daripada jerami atau bahan-bahan lain yang kuat. Mereka tak sangka ia diperbuat daripada kertas,” kata Saloma, seorang usahawan dari rumah dari Kampung Sungei Jati di Klang, Selangor.

 

Hasil kerjatangannya dipamerkan di sekitar ruang rehat rumahnya, yang juga berperanan sebagai “bengkel” dan ruang makan. Beberapa rekaannya yang lebih unik adalah seperti gelas wain, cawan dan piring. Sebuah balang besar yang menarik pandangan berdiri di salah satu sudut ruang rehatnya. “Ia masih belum siap,” terang Saloma. “Saya hanya membuatnya apabila saya ada ‘mood’.”

 

Dia menganggarkan bahawa dia memerlukan lebih kurang 15 botol syelek dan tiga tin barnis untuk memberi lapisan berkilat pada rekaan utamanya itu, dan berharap ia boleh dijual pada harga kira-kira RM600. Sebuah bakul bersaiz sederhana beserta penutupnya dijual pada harga RM45, manakala topi dijual pada harga RM20. Kos yang terlibat adalah kira-kira satu pertiga daripada harga jualan, manakala selebihnya adalah keuntungan.

 

Jika nasibnya baik, dia memperolehi di antara RM800 hingga RM950 sebulan. Pendapatannya ini cukup untuk dia membayar sewa rumah dan untuk perbelanjaan enam orang anaknya yang berumur di antara enam hingga 20 tahun.

 

Bagi Saloma, kelebihan perniagaannya ini ialah dia boleh bekerja dari rumah dan berdamping dengan anak-anaknya. “Sebelum ini pun, saya sentiasa berat hati untuk mencari kerja yang memaksa saya meninggalkan rumah setiap hari. Jika saya bekerja di luar, siapa yang akan memasak untuk anak-anak saya?”

 

Hidupnya sekarang lebih bahagia berbanding setahun lalu. Pada masa itu dia dan anak-anaknya tinggal dengan ibunya di Sekinchan, Selangor, selepas suaminya meninggalkan mereka. “Saya menjual nasi lemak dan rojak untuk menyara hidup tetapi hasil yang diterima tidak mencukupi untuk kami sekeluarga,” katanya.

 

Tetapi Saloma tidak pernah kecewa dan berputus asa dalam memberikan anak-anaknya kehidupan yang lebih baik. Apabila dia mendapat peluang menjalani kursus membuat barangan kraftangan anjuran Pusat Zakat Selangor, dia terus menerimanya tanpa berfikir panjang. Dia belajar dengan cepat dan pantas menguasai kemahiran membuat kraftangan daripada kertas. Tidak lama kemudian dia juga telah membuktikan bakatnya dalam bidang ini.

 

Pada bulan Julai tahun lepas, Saloma mengambil keputusan untuk berpindah ke Kelang dari Sekinchan sebagai sebahagian daripada strategi pemasarannya. Kelang lebih hampir dengan Pusat Zakat Selangor cawangan Shah Alam yang membantunya memasarkan barangan kraftangannya. “Saya juga cuba mencari pelanggan sendiri dan mencari cara lain untuk memasarkan produk saya.” Jiran-jiran, ahli keluarga dan rakan-rakannya adalah di antara pelanggan tetapnya.

 

Apabila dia telah lebih yakin bahawa perniagaannya akan lebih meningkat pada bulan-bulan seterusnya, dia sedar bahawa dia perlu berupaya memenuhi permintaan yang lebih besar serta perlu memperbaiki kualiti kerjatangannya demi memenuhi kehendak dan citarasa pembeli dan pengedar.

 

“Perniagaan saya mungkin kecil dan hanya dilakukan di rumah tetapi ini tidak bermakna saya tidak boleh bersikap profesional. Saya tidak dapat menerima kerjatangan yang sambil lewa kerana saya tahu saya akan terus bertapak dalam industri ini untuk jangka masa yang panjang. Saya tidak boleh merosakkan reputasi sendiri,” katanya dengan tegas.

 

Apabila dia menerima lebih banyak tempahan daripada yang mampu disiapkannya, dia meminta bantuan jiran-jiran. Mereka dibayar RM1 bagi setiap 100 jalur kertas yang mereka gulung.

 

Sebelum sesuatu barang kraftangan itu dibuat, kertas dari surat khabar lama atau majalah dipotong memanjang menjadi jalur-jalur yang setiap satunya selebar tiga inci. Setiap jalur digulung dengan ketat pada lidi kelapa. Hujung kertas kemudiannya digamkan pada gulungan dan lidi itu ditarik keluar. Gulungan jalur kertas ini sekarang sedia untuk dianyam.

 

Saloma mengambil masa kira-kira tiga jam untuk membuat sebuah bakul atau balang yang agak besar. Dia kini seronok dengan kerjanya. Ada kalanya anak-anak dan rakan-rakannya mendapati dia sedang tekun bekerja selama beberapa jam untuk menghasilkan satu kraftangan yang cantik. “Saya dapati menganyam begitu menenangkan,” terangnya.

 

Apa Yang Anda Perlu Untuk Bermula

  1. Adakah Anda Gemar Membuat Kraftangan?
    Jika anda menjawab “ya”, maka carilah buku-buku yang dapat mengajar anda bagaimana membuat kraftangan pilihan anda. Lebih baik jika anda mengambil kursus yang berkenaan kerana dengan cara ini anda boleh meraih pengalaman.
  2. Mencari Bahan-Bahan
    Cari di mana anda boleh mendapatkan bahan mentah. Periksalah beberapa tempat yang berlainan untuk mendapatkan bahan yang berkualiti pada harga yang berpatutan. Adalah penting bagi anda mengeluarkan kos serendah mungkin.
  3. Cari Tempat Yang Sesuai Untuk Dijadikan Bengkel
    Besar kemungkinan anda akan bekerja dari rumah, oleh itu carilah bilik atau ruang di mana anda boleh membuat kerja dan menyimpan bahan-bahan. Pastikan ruang itu cukup besar untuk memuatkan beberapa orang, kalau-kalau anda memerlukan pertolongan tambahan. Jika anda mempunyai anak kecil, adalah penting bagi anda memastikan bengkel anda itu selamat bagi kanak-kanak.
  4. Strategi Pemasaran Anda
    Pemasaran adalah satu aspek penting dalam perniagaan, oleh itu mintalah bantuan daripada mereka yang berada dalam bidang yang sama dengan anda. Oleh kerana anda tidak boleh bergantung semata-mata kepada kata-kata lisan untuk menjual kraftangan anda, anda disyorkan pergi ke kedai-kedai atau tempat-tempat khas yang menjual barang kraftangan. Tunjukkan contoh produk anda dan tanya jika mereka boleh memasarkannya untuk anda.
  5. Mempromosikan Kraftangan Anda
    Pamerkan barang-barang yang telah siap di rumah anda dan tunjukkan kepada rakan-rakan. Minta mereka promosikan hasil kraftangan anda kepada saudara-mara dan rakan-rakan mereka. 

Pilihan Lain
Anda juga boleh menimbangkan untuk membuat projek ini secara kerjasama dengan beberapa orang rakan atau jiran yang mempunyai minat yang sama dalam membuat kraftangan. Malah, anda juga boleh mendirikan sebuah “kampung kraftangan” kecil yang khusus dalam membuat kraftangan daripada bahan-bahan semulajadi yang mudah didapati di kawasan kejiranan anda. Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh kumpulan anda:

 

  • Belajar membuat barang hiasan yang cantik dan unik. Bekerja dalam kumpulan amat menyeronokkan dan dapat meluaskan lagi daya kreativiti anda.
  • Buka bilik pameran untuk mempamerkan hasil kraftangan anda dan untuk mempromosikan bengkel anda kepada agen pelancongan supaya mereka boleh mengatur untuk membawa pelancong ke sana. Pelancong asing tentu sukakan idea ini kerana ini merupakan tempat yang sesuai untuk mereka membeli cenderahati buatan tempatan pada harga yang berpatutan.
  • Hubungi pengedar di luar negara, dan anda mungkin berpeluang mengeksport barang kraftangan anda ke luar negara. 




E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2014. Semua hak terpelihara.