A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

BERKERJA DARI RUMAH: Pengurusan Perniagaan

Penterjemahan: Menukarkan Perkataan Kepada Wang


Jika anda boleh melakukannya dengan baik, penterjemahan boleh menjadi satu perniagaan yang menguntungkan.

 

Informasi telah berkembang menjadi satu keperluan bagi kemajuan dan perkembangan sesebuah negara itu. Malangnya dalam kebanyakan kes, informasi dan pengetahuan wujud dalam bahasa asing.

 

Walaupun demikian, kewujudan industri penterjemahan dapat membantu orang ramai menangani masalah sempadan bahasa dalam usaha mencari maklumat. Oleh itu, penterjemah dilihat sebagai alat yang penting dalam penyebaran maklumat.

 

Industri penterjemahan menyediakan peluang bagi seseorang itu terlibat sebagai penterjemah sepenuh masa atau separuh masa. Kerjaya sebagai penterjemah menjanjikan pulangan yang menguntungkan. Begitulah pendapat penulis Alex Eames. Dalam laman webnya (www.translatortips.com), Eames mengemukakan cabaran "Bagaimana memperolehi pendapatan US$80,000+ setahun sebagai penterjemah bebas". Menurutnya, membaca e-bukunya akan memberikan anda kelebihan yang tidak adil berbanding pesaing anda -- dengan tidak membacanya akan memberi mereka kelebihan yang tidak adil berbanding anda.

 

BAGAIMANA BERMULA
Sebaik sahaja anda mengambil keputusan untuk menjadi penterjemah, samada sepenuh masa atau separuh masa, anda dinasihatkan menggunakan tahun yang pertama untuk meraih pengalaman dengan bekerja untuk agensi dan mengenalpasti peraturan dan struktur pasaran dalam bidang ini. Kemudian, anda bolehlah mula memasarkan perkhidmatan anda secara langsung kepada pelanggan.

 

Dalam tempoh itu, anda akan memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang perlu untuk menjadi seorang penterjemah yang baik.

 

Sebagai seorang penterjemah yang baik, anda perlu mempunyai penguasaan bahasa yang baik dalam bahasa-bahasa yang terlibat.

 

Anda mesti mempunyai cita-cita, kesungguhan dan keinginan untuk memperbaiki diri. Sebagai seorang penterjemah, penting bagi anda bersikap prihatin terhadap.

 

Seorang penterjemah itu harus mengaplikasikan kebijaksanaan dalam setiap kerjanya. Menterjemahkan perkataan sahaja tidak cukup. Anda harus bertindak melangkaui "sempadan bahasa" dan mendalami subjek yang diterjemahkan.

 

PERATURAN
Memastikan kualiti penterjemahan bukanlah satu tugas yang mudah. Agak mustahil untuk menetapkan standard kualiti penterjemahan. Walau bagaimanapun, seorang penterjemah itu boleh menetapkan beberapa peraturan mudah yang boleh dijadikan sebagai panduan.

 

Pertama sekali, baca keseluruhan teks dengan teliti dan lihat samada anda boleh menterjemahkannya atau tidak. Jika anda rasa anda tidak boleh melakukannya, jangan terima tugas itu. Kemudian, pastikan teks yang diberi itu cukup lengkap. Dengan membaca keseluruhan teks, anda akan mendapat idea tentang apa yang diperbincangkan.

 

Kedua, buat penyelidikan tentang istilah-istilah dan konsep yang dikemukakan dalam teks itu. Dalam hal ini, buku-buku mengenai terminologi dapat membantu. Kumpulkan senarai terminologi yang mengandungi istilah-istilah yang anda tidak tahu. Anda harus faham bahawa sesetengah istilah boleh mempunyai maksud yang berbeza, bergantung kepada konteks di mana ia diguna.

 

Jangan mula menterjemah sehingga anda telah mengetahui kesemua istilah yang serupa dalam bahasa sasarnya. Luangkan beberapa jam -- atau beberapa hari, untuk projek yang lebih panjang -- untuk mengkaji istilah-istilah ini. Masa yang anda luangkan ini dapat menjimatkan sekurang-kurangnya dua kali jumlah masa yang diperlukan semasa anda membuat penterjamahan.

 

Ketiga, pastikan dengan teliti tatabahasa dan gaya bahasa yang anda gunakan adalah serupa dengan gaya bahasa yang dituturkan oleh seseorang yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa ibunda.

 

Keempat, gunakan gaya dan turutan bahasa yang berbeza bagi teks yang berbeza. Contohnya, gaya dan turutan perkataan dalam satu dokumen kewangan adalah berbeza dengan dokumen pemasaran atau spesifikasi teknikal.

 

Kelima, anda mestilah menyemak kerja anda sendiri, tidak kira samada ia akan disemak oleh orang lain selepas itu atau tidak. Menyemak bermaksud membaca semula keseluruhan teks dan memeriksa jika ada kesilapan formal seperti ayat atau perkataan yang tertinggal; perkataan yang terlebih; penetapan pada sesuatu peraturan (contohnya Bahasa Inggeris US atau UK); penetapan pada sesuatu bahasa korporat tertentu; kesilapan ejaan dan sebagainya (ingat bahawa penyemak ejaan tidak dapat membezakan contohnya antara "she" dan "the" kerana kedua-duanya betul).

 

Ini diikuti dengan semakan kedua iaitu menyemak isi kandungan: adakah kesemuanya telah difahami dan diterjemah dengan betul? Adakah istilah yang digunakan betul penggunaannya? Adakah gaya bahasa dan sturuktur ayat sesuai dengan isi kandungan teks?

 

Akhir sekali, anda perlu ingat bahawa sebagai seorang penterjemah, anda bertanggungjawab terhadap kerja anda. Anda bertanggungjawab memastikan bahawa teks itu telah diterjemahkan mengikut arahan yang diberikan.

KEMAHIRAN DAN SUMBER-SUMBER

 

Seorang penterjemah yang baik akan menggunakan masa dengan baik untuk meningkatkan kemahiran dan sumber-sumber yang perlu untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti.

 

Pada zaman ini, komputer peribadi banyak digunakan dalam membuat kerja seperti menaip. Kemahiran menaip sangat berguna dalam tugas penterjemahan kerana ia dapat menjimatkan banyak masa. Anda bolehlah mengikuti kursus menaip untuk meningkatkan kemahiran ini.

 

Kebanyakan penterjemah menerima dan menghantar kerja mereka melalui e-mel. Oleh itu, sebuah komputer dengan perisian pemproses perkataan dan sambungan Internet adalah diperlukan.

 

Sumber-sumber yang paling diperlukan bagi kerja penterjemahan adalah kamus dan buku-buku terminologi dalam pelbagai subjek.

 

Sebuah kamus yang bagus bagi penterjemah yang terlibat dalam menterjemahkan teks dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu ialah English-Malay Translation Dictionary susunan Ainon Mohd dan Abdullah Hassan dan diterbitkan oleh Utusan Publicatins & Distributors Sdn Bhd. Satu lagi ialah Kamus Padanan Kata oleh penulis-penulis yang sama dan diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.

 

Buku-buku terminologi pelbagai subjek (bagi penterjemah Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu atau Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris) boleh diperolehi dari Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Namun dengan kesemua kamus dan buku terminologi yang diperlukan, anda kadang kala masih lagi keliru kerana sumber-sumber ini tidak dapat menyediakan perkataan yang tepat bagi kesemua jenis kerja dan situasi. Seorang penterjemah yang baik akan tahu bagaimana cara menyampaikan maksud dengan menggunakan perkataan yang betul.

 

Oleh itu, anda mungkin perlu membuat senarai terminologi sendiri sedang anda memajukan diri dalam dunia penterjemahan. Usaha seperti ini boleh menjadi perpustakaan rujukan yang baik untuk anda sendiri.

 

Terminologi hanyalah satu daripada aspek bahasa. Sebagai seorang penterjemah, anda juga harus mahir dalam tatabahasa, kefahaman, penggunaan dan sastera bahasa yang anda gunakan itu.

 

Penterjemah atau sesiapa sahaja yang berminat untuk melibatkan diri dalam kerja penterjemahan, samada separuh masa atau sepenuh masa, boleh menghadiri kursus untuk mempertingkatkan kemahiran mereka.

 

KURSUS-KURSUS
Institute of Translation and Interpreting (ITI), iaitu persatuan utama bagi penterjemah dan juru alih bahasa profesional di United Kingdom, menyediakan senarai kursus latihan penterjemahan dan alih bahasa yang terkini. Kursus-kursus ini dijalankan oleh universiti dan institut-institut lain. Anda boleh menghubungi ITI di iti@compuserve.com (tel. +44 171 713 7600).

 

Di Malaysia, kursus penterjemahan boleh didapati di Institut Terjemahan Nasional Malaysia Berhad atau ITNMB (www.itnm.com.my).

 

ITNMB ialah badan rasmi yang menjalankan penterjemahan, alih bahasa dan pertukaran maklumat ke pelbagai bahasa di peringkat nasional dan antarabangsa. Ia menawarkan perkhidmatan terjemahan, interpretasi multi-bahasa dan peneribitan termasuk kursus terjemahan bagi orang awam dan pekerja sektor swasta untuk mendapatkan kemahiran menterjemah.

 

ITNMB juga menyediakan latihan sepenuh masa dan separuh masa bagi penterjemah dengan mengadakan kursus terjemahan am dan bengkel terjemahan.

 

Kursus am ini ditawarkan sebagai kursus sepenuh masa dan juga sebagai program separuh masa. Para peserta boleh memilih untuk menjalani kursus sepenuh masa selama 60 jam dalam tempoh 11 hari di mana pada akhir kursus mereka akan menjalani peperiksaan. Program separuh masa pula, selama 60 jam dan dijalankan pada selama 20 minggu, sekali seminggu iaitu pada setiap hari Sabtu. Pada hujung kursus ini para peserta juga akan menjalani peperiksaan.

 

Program bengkel pula dijalankan sebanyak empat siri, selama 48 jam dan dijalankan pada hujung minggu. Ia diadakan sekali sebulan pada hari Sabtu dan Ahad. Para peserta mesti menghadiri keempat-empat siri bengkel ini untuk membolehkan mereka mengambil peperiksaan.

 

Kesemua kursus dan bengkel dikendalikan dalam Bahasa Melayu.

 

Objektif kursus dan bengkel adalah untuk membolehkan para peserta mendalami konsep dan teknik terjemahan yang komprehensif, terkini dan profesional. Ia memberi kefahaman tentang penggunaan sebenar bahasa dalam bidang penterjemahan, dan menanamkan kefahaman yang betul mengenai pertukaran bahasa dan terminologi yang digunakan.

 

Kursus ini sesuai bagi mereka yang terlibat atau akan terlibat dalam bidang bahasa dan komunikasi (penerbitan, penyiaran, kewartawanan, perhubungan awam, pengiklanan dan sebagainya), guru-guru bahasa (Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil dan lain-lain), mereka yang telah bersara atau hampir bersara, dan mereka yang mempunyai masa lapang dan berminat menulis.

 

Untuk melayakkan diri bagi mengikuti kursus ini, para peserta mestilah fasih dalam sekurang-kurangnya dua bahasa (contohnya: Bahasa Melayu dan satu bahasa lagi atau Bahasa Inggeris dan satu bahasa lagi), mempunyai sekurang-kurangnya sijil SPM dengan kredit dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman bekerja.

 

ITNMB juga menawarkan kursus dalam sari kata dan terjemahan lanjutan.

 

Penterjemah yang ingin membuat kerja penterjamahan mungkin boleh menghubungi syarikat-syarikat yang memerlukan khidmat penterjamahan seperti syarikat penerbitan, penyiaran, pengiklanan dan perhubungan awam serta sektor-sektor awam termasuklah ITNMB sendiri.       

 

ITNMB yang sedang berusaha membina sebuah institut penterjemah di mana pengiktirafan boleh diberikan kepada para penterjemah, boleh dihubungi di Wisma ITNMB di No. 2, Jalan 2/27E, Section 10, Wangsa Maju, 53300 Kuala Lumpur (Tel: 03-4149 7210 Faksimili: 03-4143 2939 E-mel:  info@itnm.com.my.

 

Para peserta boleh mendaftar dalam talian bagi kursus-kursus dan bengkel dengan melayari laman web www.itnm.com.my.

 

Penterjemah yang memegang sijil yang dikeluarkan oleh institut ini boleh mengesahkan hasil terjemahan, terutamanya dokumen terjemahan seperti sijil kelahiran dan sijil-sijil lain.

 

Dengan menghadiri kursus di ITNMB, peserta juga boleh mendapat idea mengenai kadar yang boleh mereka kenakan bagi kerja mereka.

 

KADAR
Jika sesebuah terjemahan itu tidak dilakukan dengan baik, ia menjadi terlalu mahal; jika ia dibuat dengan baik, setiap sen yang dibayar adalah berbaloi.

 

Mana-mana penterjemah akan tahu bahawa penterjemah profesional tidak mempunyai kadar yang standard bagi kerja mereka. Tiada kadar yang dapat dikenakan pada semua situasi.

 

Kadar penterjemahan bergantung kepada keadaan seperti bahasa sasar terjemahan, kadar kesukaran subjek tersebut, panjang dokumen, masa yang diperlukan, beban tugas sedia ada dan faktor-faktor teknikal yang lain (tuntutan format, pertukaran metrik yang banyak, kesahihan sumber dokumen, dsb).

 

Menterjemah satu dokumen yang penuh dengan istilah teknikal sangat berbeza dari menterjemah keratan akhbar.

 

Walau bagaimanapun, secara amnya ramai penterjemah yang mengenakan bayaran mengikut apa yang dipanggil kadar pasaran semasa yang biasanya di antara 10 sen hingga 30 sen bagi satu perkataan, bergantung kepada pembolehubahnya. Sesetengah penterjemah pula mengenakan bayaran mengikut jumlah mukasurat; contohnya antara RM30 dan RM90 bagi satu muka kertas A4 teks yang siap diterjemah dan ditaip dalam font bersaiz 12.

 

PENTERJEMAH BEBAS
Pekerjaan sebagai penterjemah bebas boleh mendatangkan keuntungan dari segi kewangan dan emosi. Tetapi untuk bertapak dalam bidang ini memerlukan kerja keras.

Menubuhkan satu perniagaan boleh membuatkan anda putus asa kerana segala-gala yang anda lakukan kelihatan mengambil masa terlalu lama untuk mendapat pulangan yang diingini. Tetapi melalui kesungguhan anda pasti berjaya.

Adalah baik bagi seseorang penterjemah mengenalpasti peluang pasaran yang kurang dipelopori oleh penterjemah lain.

Satu lagi aspek yang boleh anda ceburi ialah pengkhususan. Sesetengah penterjemah mengkhusus dalam penterjemahan dokumen kewangan.

Selepas beberapa tahun, seseorang penterjemah boleh meraih kepakaran dalam aspek kewangan, perbankan, perisian, pengurusan dan pasaran komunikasi untuk menawarkan khidmat penterjemahan kepada pelanggan tertentu. 

KESILAPAN
Sebagai seorang penterjemah, anda mestilah berhati-hati supaya tidak membuat kesilapan seperti yang biasa dilakukan oleh penterjemah amatur, iaitu menterjemah secara langsung kata demi kata tanpa menghiraukan semantik, logik atau konteks.

Pendekatan ini biasanya akan menimbulkan masalah, terutamanya di antara dua bahasa yang mempunyai peraturan tatabahasa dan sintatik yang berbeza.

Buatlah tugas anda seperti seorang penterjemah profesional dengan bekerja mengikut pendekatan konseptual -- fikir dahulu, lakukan kemudian.

Seorang penterjemah yang baik akan mengalu-alukan maklumbalas daripada pelanggannya. Jangan takut untuk meminta maklumbalas mereka. Maklumbalas, tidak kira baik atau buruk, akan membantu anda memperbaiki kerja anda dan seterusnya meletakkan diri anda sebagai seorang penterjemah yang berkaliber.





E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2014. Semua hak terpelihara.