Penderaan Kanak-Kanak
Penjaga kanak-kanak mesti melaporkan kepada polis jika mereka mengesyaki ada berlakunya kes penderaan, termasuklah yang dilakukan oleh ibu bapa.
Pengaruh Negatif di Kawasan Kejiranan
Penjaga kanak-kanak hendaklah menjauhkan kanak-kanak daripada pengaruh tidak sihat di kawasan kejiranan mereka. Sesetengah kawasan mempunyai lebih ramai penagih dadah dan kegiatan haram daripada kawasan yang lain. Penjaga hendaklah sentiasa peka mengenai bahaya pengaruh-pengaruh negatif ini.
Bahaya Akibat Kenderaan Bergerak
Jika rumah anda terletak berhampiran jalan yang sibuk, pastikan pintu sentiasa ditutup dan kanak-kanak hanya dibenarkan keluar dengan pengawasan penuh.
Bahaya Akibat Elemen Yang Membahayakan Kesihatan
Bahan kimia beracun, ubat-ubatan dan bahan-bahan mainan kecil yang boleh menyebabkan tercekik hendaklah dijauhkan daripada kanak-kanak.
Kebersihan
Anda hendaklah pastikan bahawa lantai di mana kanak-kanak menghabiskan masa bermain dan berinteraksi sentiasa bersih. Tandas dan bilik air hendaklah dicuci setiap hari.
Bahaya Akibat Objek Tajam Atau Panas
Jangan tinggalkan peralatan memasak, pisau, gunting atau seterika panas di tempat yang boleh dicapai oleh kanak-kanak. Anda juga harus melipat meja seterika selepas digunakan untuk mengelakkan kanak-kanak bermain di bawahnya.
Bahaya Mendapat Kejutan Elektrik
Wayar penyambung hendaklah dipasang di tempat-tempat yang tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
Bahaya Mendapat Kecederaan Daripada Peralatan Elektrik
Peralatan elektrik hendaklah dijauhkan daripada kanak-kanak. Pasanglah kipas angin dinding atau siling, berbanding kipas angin meja atau yang berdiri.
Bahaya Akibat Lantai Basah Dan Licin
Gunakan pelapik getah di bilik air, di dalam dan di pintu masuk ke dapur. Adalah lebih baik jika anda melarang kanak-kanak ini masuk ke kawasan dapur. Anda hendaklah mengelap air yang tertumpah terutamanya jika anda mempunyai lantai marmar atau terazo.
Bahaya Daripada Struktur Bangunan
Pastikan tiada bucu tajam, pagar berduri dan permukaan kasar di rumah anda. Pasangkan pagar di tangga jika anda mempunyai kanak-kanak kecil di rumah.
Bilik Air Yang Tidak Sesuai
Buatlah tandas dan bilik air anda mesra kanak-kanak. Selusur tangan yang sesuai adalah penting untuk membantu kanak-kanak bergerak dengan selamat.
Pengaruh Negatif Seperti Kelakuan Buruk Dan Bahasa Kasar
Jangan dedahkan kanak-kanak kepada kelakuan dan percakapan yang negatif. Jika anda membenarkan mereka menonton televisyen, pastikan program yang ditonton adalah sesuai.
Penyakit Berjangkit
Anda hendaklah mengasingkan kanak-kanak yang sakit daripada yang sihat untuk mengelakkan penyakit dari berjangkit.
Haiwan Peliharaan
Haiwan peliharaan tidak sesuai dibela jika anda menjaga kanak-kanak kerana ramai kanak-kanak yang alah kepada haiwan.
Ada beberapa perkara lagi yang perlu diberi perhatian berkaitan dengan keselamatan.
- Sentiasalah berhubung dengan balai polis berdekatan atau Rukun Tetangga di kawasan anda untuk mendapatkan bantuan mereka memerhatikan rumah anda jika terdapat individu yang mencurigakan.
- Pagar rumah hendaklah sentiasa dikunci selepas setiap ibu bapa menurunkan atau mengambil anak-anak mereka.
- Pastikan anda kenal ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu. Anda harus menyimpan buku pendaftaran dan meletakkan gambar setiap ibu bapa atau penjaga di dalamnya.
- Hanya orang tertentu sahaja yang dibenarkan mengambil kanak-kanak. Hubungi ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu jika ada orang lain datang untuk menjemput mereka. Hubungi polis jika anda syak sesuatu yang mencurigakan.
- Sentiasa ingatkan ahli keluarga anda mengenai betapa pentingnya keselamatan. Anda harus berhadapan dengan ibu bapa dan undang-undang jika sesuatu yang buruk berlaku semasa mereka dalam penyeliaan anda.