A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

ALAM SEKITAR: Kehidupan Hijau

Sumber dan Jenis Pencemaran


Bahan-bahan pencemaran boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu;

Bahan-bahan pencemaran peringkat pertama

Pencemaran ini merupakan bahan-bahan yang dikeluarkan secara terus menerus oleh sumber-sumber yang boleh dikesan. Sumber bahan-bahan pencemaran peringkat pertama boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu;

 a.   Sumber semulajadi.

b.    Sumber yang dihasilkan oleh kegiatan manusia.

c.    Sumber semulajadi yang digalakkan oleh manusia.

 Bahan-bahan pencemaran peringkat kedua

Pencemaran ini merupakan bahan-bahan yang dikeluarkan hasil daripada interaksi di antara dua ataupun lebih bahan-bahan pencemaran peringkat pertama, ataupun hasil daripada reaksi dengan komponen-komponen atmosfera sama ada diikuti atau tidak oleh kesan fotokimia.

PUNCA BAHAN-BAHAN PENCEMARAN SEMULAJADI

Walaupun sebahagian besar daripada bahan-bahan pencemaran yang terdapat diudara adalah hasil daripada kegiatan manusia secara langsung ataupun tidak, terdapat juga bahan-bahan pencemaran yang dikeluarkan oleh sumber-sumber semulajadi. Antaranya;

Letusan gunung berapi – seperti letusan Gunung Krakatua (1883) dan letupan Gunung Agung (1963). Letusan-letusan gunung berapi yang besar seperti ini banyak mengeluarkan bahan-bahan seperti habuk dan gas-gas ke dalam udara.

Api – ianya merupakan sumber semulajadi yang penting dalam pencemaran udara baik pada masa dahulu maupun sekarang. Api yang dimaksudkan di sini ialah pembakaran yang berlaku hasil daripada kilat-petir yang boleh menyalakan hutan rimba seperti di kawasan padang rumput savana yang kering.

Hempasan air laut – berlaku disekitar pinggir pantar. Bahan-bahan pencemaran yang dihasilkan cuma bersifat air yang bergaram seperti semburan laut, garam laut, wap air, dan kesan-kesan sampingan kecil yang lain. Walau bagaimanapun, laut mempunyai kepentingannya yang tersendiri kepada alam semulajadi terutamanya dalam mempengaruhi keadaan cuaca, khasnya pembentukan awan dan kabus.

Tiupan habuk - keadaan ini biasanya terdapat dikawasan tandus yang terdedah dan mengalami tiupan angin kencang, seperti kawasan gurun tropika.

Sumber debunga – ini ialah hasil pollen daripada bunga yang diterbangkan oleh angin.

Bakteria dan virus – turut juga mempengaruhi kebersihan udara, walau bagaimanapun kesannya adalah sangat kecil sekali.

SUMBER BAHAN-BAHAN PENCEMARAN HASIL DARIPADA KEGIATAN MANUSIA

Proses pembakaran adalah merupakan faktor utama yang menyumbang kepada percemaran udara. Bahan-bahan cemar hasil daripada proses pembakaran terbahagi kepada dua jenis, iaitu;

Zarahan

Bahan-bahan cemar ini tergolong dalam jenis zarah yang juga dikenali sebagai ‘abu’ dan ‘sut’. ‘Abu’ ialah istilah umum yang merangkumi berjenis-jenis bahan organan dan bukan organan. ‘Sut’ pula ialah zarah-zarah karbon yang halus dan merupakan komponen penting dalam asap. Di antara kesan pencemaran jenis ini ialah pengurangan jarak penglihatan, pengurangan cahaya matahari, pengotoran bangunan, pakaian, tumbuh-tumbuhan dan manusia sendiri.

Gas

Pencemaran jenis ini terdiri dari berjenis-jenis gas yang dilepaskan ke udara, antaranya termasuklah sulfur dioksida (SO2), karbon monoksida (CO), karbon dioksida (CO2), hidrokarbon (HC), dan oksida-oksida nitrogen(NOx). Kebiasaannya gas-gas ini dianggap sebagai pencemaran ‘simbol status’, kerana beranggapan hanya negara-negara yang mempunyai teknologi tinggi dan canggih serta jumlah kereta yang banyak sahaja mengalaminya.

KESAN-KESAN PENCEMARAN UDARA

Kesan terhadap kesihatan

Pencemaran udara memberi kesan yang buruk kepada kesihatan. Di antara kesan utama yang menimpa manusia  akibat daripada pencemaran udara ialah terhadap sistem pernafasan. Udara dan bahan cemar yang terperangkap di dalamnya memasuki badan melalui hidung atau mulut dan memasuki paru-paru melalui trakea. Didalam paru-paru udara bergerak melalui tiub bronkus kepada alveoli, iaitu kantung kecil udara, di mana pemindahan gas berlaku. Bahan cemar diserap sama ada ke dalam darah atau dikeluarkan daripada paru-paru melalui sel bulu halus yang dipanggil silia yang menyapukan mucus ke dalam tekak. Silia bronkus boleh dilumpuhkan oleh udara cemar yang disedut. Zarah bahan cemar yang kecil dan boleh melintasi silia bronkus dipanggil ‘zarah boleh sedut’. Diantara bahan cemar yang sering terdapat dalam udara yang kita sedut dan mengancam kesihatan ialah karbon monoksida (CO).

Kesan karbon monoksida keatas kesihatan manusia berkadar terus dengan kuantiti karbon monoksida yang terikat dengan hemoglobin. Oksigen yang dibawa dalam darah dikenali sebagai oksihemoglobin (HbO2), sebatian separa stabil yang mana oksigen (O2) terikat lemah kepada Fe2+ didalam hemoglobin sel darah merah. Oksigen kemudiannya disingkirkan untuk respirasi sel dan hemoglobin dipulihkan semula untuk membawa oksigen (O2). Kehadiran karbon monoksida (CO) akan mengurangkan keupayaan membawa oksigen dalam darah kerana ia bergabung dengan hemoglobin dan membentuk karboksil hemoglobin(HbCO) yang lebih stabil. Hemoglobin yang terikat dengan HbCO tidak boleh dipulihkan semula dan oleh itu tidak dapat membawa oksigen yang diperlukan untuk kehidupan sel darah merah. Oleh sebab itu karbon monoksida (CO) adalah diantara gas yang dapat meracuni sistem pengangkutan oksigen (O2) dalam darah dengan begitu berkesan sekali.

Selain itu terdapat juga bahan-bahan cemar lain yang turut mengancam kesihatan manusia. Antaranya, nitrogen dioksida (NO2), yang boleh menyebabkan edema dan pendarahan pulmonari. Edema ialah penghimpunan tidak normal bendalir dalam tisu badan, dan edema pulmonari pula ialah bendalir berlebihan dalam tisu paru-paru. Contoh yang lain ialah gas ozon (O3), iaitu sejenis gas pengoksida yang boleh menimbulkan kerengsaan. Kepekatan ozon dalam beberapa bahagian per juta (ppm) sahaja boleh menyebabkan kesesakan pulmonari, edema dan pendarahan.

Kesan terhadap tumbuhan

Pernahkah anda melihat tumbuh-tumbuhan yang rosak. Tumbuh-tumbuhan mengalami kerosakan akibat pencemaran udara melalui tiga cara, iaitu;

a.  Nekrosis – peruntuhan tisu daun.

b.   Klorosis – pelunturan atau lain-lain pertukaran warna.

c.   Perubatan pertumbuhan.

Diantara bahan cemar yang boleh merosakan tumbuh-tumbuhan ialah sulfur dioksida (SO2), yang boleh menyebabkan tompok-tompok kecil di antara urat-urat daun. Alfafa, barli, kapas, gandum dan epal adalah di antara yang peka kepada sultur diokisda. Ozon (O3) juga adalah di antara bahan cemar yang menyebabkan kerosakan kepada tumbuh-tumbuhan. Misalnya, tomato, tembakau, kekacang, bayam dan kentang adalah di antara tumbuh-tumbuhan yang sensitif kepada ozon.

 Kesan terhadap binatang ternakan

Bahan cemar udara bukan sahaja mempengaruhi manusia tetapi juga kepada haiwan. Sebagai contoh, di Poza Rica, Mexico, sekumpulan burung kenari, ayam, itik, lembu, khinzir, angsa dan anjing telah mati akibat terdedah kepada sulfur dioksida (SO2) yang dilepaskan ke udara oleh sebuah loji penapisan pada tahun 1950. Kematian ini disebabkan oleh penghadaman bahan makanan haiwan yang tercemar setelah terdedah kepada bahan-bahan toksid yang terdapat di dalam udara.

Begitu juga dengan keracunan yang disebabkan oleh plumbum (Pb) yang boleh membawa maut kepada haiwan sebagaimana yang telah berlaku kepada lembu dan kuda di Jerman. Haiwan-haiwan ini yang meragut kawasan rumput sekitar 5 kilometer dari sebuah kilang plumbum dan zink telah mengalami keracunan akibat daripada habuk plumbum yang dilepaskan oleh kilang tersebut.

Kesan terhadap bahan

Kesan pencemaran udara yang paling ketara terhadap bahan ialah mengotorkan permukaan bahan terutamanya bangunan, pakaian dan juga benda-benda lain. Pengotoran berlaku akibat dari pengendapan asap atau zarah halus yang bergarispusat kira-kira 0.3 mikrometer. Selepas beberapa lama pengendapan ini dapat dilihat dan dipanggil kekotoran, kelunturan, atau kehitaman permukaan.

Satu lagi kesan pencemaran udara ialah kadar kakisan logam. Contohnya kehadiran sulfur dioksida (SO2) didalam udara akan mempercepatkan lagi kadar kakisan logam. Di samping itu, fabrik juga dipengaruhi oleh bahan cemar udara. Contohnya, suatu ketika dulu di Kanada dan Florida, stoking nilon yang dipakai oleh kaum wanita sangat mudah terurai disebabkan oleh kabus halus asid sulfurik yang terdapat dalam udara di bandar-bandar tersebut.

Kesan terhadap atmosfera
Diantara kesan terhadap atmosfera yang dibawa oleh pencemaran udara ialah mengurangkan jarak penglihatan. Contoh yang paling jelas ialah kebakaran besar yang berlaku di hutan Indonesia pada tahun 1997 telah menyebabkan beberapa buah negara di Asia Tenggara mengalami keadaan jerebu yang teruk termasuk Malaysia. Selain itu, pertambahan kepekatan karbon dioksida (CO2) dalam atmosfera turut meningkatkan suhu bumi yang telah mencetuskan perbincangan hebat di kalangan para saintis di abad ini. Para saintis mendapati bahawa kepekatan karbon dioksida(CO2) akan bertambah dari 0.032 peratus pada tahun 1968 kepada 0.038 peratus menjelang tahun 2000. Mengikut teori, ini akan menyebabkan peningkatan suhu sebanyak 0.5oC, dan kesan ini dikenali sebagai kesan ‘rumah hijau’

UDARA, CUACA DAN IKLIM

Sehingga dekad kebelakangan ini, unsur-unsur cuaca dan iklim jarang dianggap sebagai sumber semulajadi. Kebanyakan unsur yang menjadikan cuaca dan iklim dilihat sebagai sumber yang tidak terhad dan oleh itu sering disalah-tafsirkan. Hakikatnya, udara yang dinikmati selama ini boleh dicemari dan kadar pencemaran udara semakin meningkat di merata tempat didunia ini. Pencemaran udara, pemanasan global, penipisan dan pembocoran lapisan ozon, jerebu, hujan asid, banjir tanah runtuh, taufan dan lain-lain bahaya alam yang berpunca dari unsur-unsur cuaca dan iklim telah mengancam hidupan flora, fauna, alam sekitar dan manusia sendiri. Kesan dari keadaan tersebut telah banyak membawa kepada pemupusan dan kemusnahan banyak spesis hidupan flora dan fauna dalam biosfera.

Mengenai cuaca dan iklim, al-Quran juga tidak ketinggalan memberikan penerangan tentang perubahan-perubahan yang berlaku di mukabumi disebabkan oleh faktor-faktor seperti perubahan angina, peranan air dan awan seperti yang dinyatakan dlam surah al-Baqarah, ayat 164;

“Sesungguhnya dalan penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, kapal yang belayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah matinya (kering), dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awam yang dikendalikan antara langit dan bumi, sungguh terdapat tanda-tanda Keesaan dan Kebesaran Allah bagi kaum yang memikirkan,”        

 Kejadian Hujan Asid

 Berpandukan kepada rajah 2, kita dapat melihat bagaimana terjadinya hujan asid.

   Ianya dihasilkan akibat dari pelepasan gas sulfur dioksida (SO2) dan oksida-oksida nitrogen (NOX) ke atmosfera oleh logi-logi janakuasa dan industri.

B    Gas yang dilepaskan ini akan bertindakbalas dengan wap air yang terdapat di dalam atmosfera dan membentuk asid sulfurik dan asid nitrik.

C    Asid yang terbentuk ini berkumpul didalam awan, dan awan pula akan bergerak membawa asid-asid ini ke tempat-tempat lain.

D    Asid ini akan turun ke bumi bersama dengan hujan dan menimpa tumbuh-tumbuhan serta boleh mematikan mereka.

E     Asid yang turun ini juga akan masuk kedalam sungai dan mematikan hidupan-hidupan sungai.                       

F      Asid ini juga akan masuk ke dalam tempat takungan air yang lain seperti tasik dan mematikan hidupan tasik.

      Selain itu asid ini juga akan meresap masuk ke dalam tanah dan bertindakbalas dengan bahan-bahan dalam tanah. Hal ini akan mengurangkan kualiti tanah dan menjadikannya tidak subur.

 Kepentingan Udara, Cuaca Dan Iklim Kepada Makhluk

Suhu rendah di kawasan peranginan yang bercuaca dan beriklim bukit seperti Bukit Fraser dan Cameron Highland, dan sinaran matahari tropika yang amat disukai oleh para pelancong luar negara adalah merupakan sumber-sumber cuaca dan iklim. Salji yang putih dan menjadi daya tarikan di pusat-pusat pelancongan musim sejuk juga adalah satu sumber yang penting. Selain itu, sinaran matahari juga penting untuk tumbesaran pelbagai jenis tanaman. Bahkan sumber alam yang berasal dari cuaca dan iklim seperti air yang bersih, udara yang nyaman, angin lembab yang membawa hujan untuk manusia, haiwan dan tanaman, dan sinaran matahari untuk pelbagai poses pembiak-bakaan flora dan fauna, kesemuanya dikelaskan sebagai sumber–sumber udara, cuaca dan iklim yang sangat berfaedah untuk makluk yang hidup di bumi ini.

 Di samping itu al-Quran juga telah menerangkan kepada kita bahawa salah satu peranan penting yang dimainkan oleh angin ialah menjadi agen kepada pembiakan tumbuh-tumbuhan. Sebagai contoh, memungkinkan berlakunya penyebaran benih sama ada melalaui proses pendebungaan atau membantu menerbangkan benih ke tempat yang subur. Hal ini telah dijelaskan oleh al-Quran dalam surah al-Hijr, ayat 22;

  “Dan Kami telah meniup angin untuk mengawinkan tumbuh-tumbuhan dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu Kami beri minum kamu dengan air itu, dan sekali-kali bukanlah kamu yang menyimpannya.”

Pada umumnya, sumber alam boleh dibahagikan kepada ‘ sumber-sumber tabung’ dan ‘sumber-sumber mengalir’, seperti yang ditunjukkan bawah;

 Manusia, Iklim dan Cuaca

Unsur-unsur cuaca dan iklim boleh dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu unsur-unsur ‘positif’ dan unsur-unsur ‘negatif’. Ciri-ciri positif cuaca dan iklim lazimnya dipanggil ‘sumber alam’, sementara ciri-ciri yang negatif lebih dikenali sebagai ‘ bahaya alam’. Interaksi antara manusia dengan sistem bumi atmosfera, khasnya yang melibatkan cuaca dan iklim, telah banyak membawa kepada pertambahan bahaya alam berbanding dengan sumber-sumber alam. Misalnya, kepadatan penduduk, perindustrian dan kenderaan yang padat di kawasan bandaraya telah mengakibatkan pencemaran udara yang membawa kepada perubahan unsur-unsur cuaca dan iklim.             
      
Selain itu, unsur-unsur yang positif pada suatu masa di suatu tempat mungkin juga akan berubah menjadi unsur yang negatif pada masa dan tempat yang lain. Contohnya, hujan lebat di kawasan gurun adalah suatu sumber yang amat penting, tetapi jika ianya berlaku di kawasan lembab seperti kawasan monsun yang membawa kepada banjir, maka ianya dikelaskan sebagai bahaya alam.

Manusia di bandar mahupun di pendalaman telah berinteraksi dengan udara semulajadi untuk menghasilkan kejadian-kejadian bahaya alam seperti udara kotor, jerebu, hujan asid, kenaikan suhu dan lain-lain perubahan cuaca dan iklim. Oleh hal yang demikian, kenyataan yang mengatakan bahawa kejadian banjir, tanah runtuh dan seumpamanya yang disebabkan oleh keadaan semulajadi adalah tidak benar, kerana dalam bencana yang sebegini tiada bencana alam yang boleh dikatakan benar-benar semulajadi melainkan elemen manusia turut terlibat dan memainkan peranan penting di dalam setiap kejadian bencana tersebut.

Oleh hal yang demikian, manusia haruslah mengutamakn penggunaan sumber-sumber semulajadi cuaca dan iklim serta mengurang dan mengelakkan bahayanya sama sekali. Malangnya keinginan mengejar pembangunan dan kemajuan ekonomi, khasnya dalam usaha untuk mencapai taraf negara maju telah menyebabkan kebanyakan negara membangun mengenepikan kepentingan alam sekitar. Justeru, alam sekitar, khasnya unsur-unsur udara, cuaca dan iklim sering dikorbankan untuk kemajuan, pembangunan dan kepentingan ekonomi. Walau bagaimanapun ini bukanlah bermakna segala bentuk kemajuan dan pembangunan perlu dihentikan demi menjaga alam sekitar sehinggakan taraf hidup manusia itu menurun. Apa yang penting ialah mengamalkan pembangunan yang seimbang, iaitu yang membawa kebaikan kepada manusia dan pada masa yang sama dapat memelihara alam sekitar.

 KESIMPULAN

Kesedaran manusia untuk melindungai alam sekitar yang melibatkan udara, cuaca, iklim dan semua unsur-unsurnya adalah sangat penting. Lebih-lebih lagi, kesedaran ini akan menimbulkan dalam diri manusia sifat cintakan alam dan kefahaman tentang ‘kerapuhan’ sistem semulajadi jika diganggu oleh manusia dengan sesuka hati. Manusia perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk melindungi dan memelihara keadaan semulajadi atmosfera dan segala unsur-unsur yang terkandung di dalamnya.

 Islam juga telah mengingatkan kita supaya sentiasa menjaga alam sekitar. Perkara ni sering diberi peringatan dalam bentuk mengajak manusia berfikir akan kejadian alam dan dikaitkan dengan apakah kesudahan yang akan menimpa manusia di kemudian hari, seperti yang terdapat dalam surah al-A’raf, ayat 57;

“Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan), hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan, Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran.”

Di samping itu setiap negara perlu bekerjasama di dalam usaha mengurangkan impak aktiviti manusia terhadap sistem atmosfera bumi. Semua pihak, baik pada skala global, nasional, tempatan, mahupun individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk menjamin sistem atmosfera bumi tidak dimusnahkan pada masa akan datang. Atmosfera dan segala unsur yang terkandung didalamnya mestilah diambil-kira sebagai komponen penting yang perlu dipelihara didalam setiap projek pembangunan.

Dipetik daripada "Alam Sekitar Anugerah Tuhan" Penyunting Abu Bakar Yang





E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2014. Semua hak terpelihara.