|
BERKERJA DARI RUMAH: Memulakan Perniagaan
Persediaan Bagi Diri dan Keluarga Anda Dalam Menghadapi Perniagaan Penjagaan Kanak-Kanak
Adakah Anda Telah Bersedia? Menguruskan perkhidmatan penjagaan anak memerlukan kesungguhan dan pelbagai kebolehan. Ia memerlukan seseorang yang tahu bagaimana melakukan pelbagai perkara dengan berkesan untuk kanak-kanak.
Anda akan bertanggungjawab bagi keseluruhan kebajikan kanak-kanak di bawah jagaan anda. Perkara-perkara berikut hendaklah dipertimbangkan:
- Sayangkan Kanak-Kanak
Jika anda benar-benarkan sayangkan kanak-kanak, maka tugas yang berat dan kompleks dalam menjaga kanak-kanak merupakan satu kegembiraan bagi anda. Sebaliknya, ramai orang yang berjaya dalam perniagaan ini walaupun mereka tidak begitu gemarkan kanak-kanak. Apa yang penting ialah kanak-kanak di bawah jagaan anda gembira, selamat dan selesa semasa bersama anda.
- Keupayaan Mengawal Emosi
Jika anda menghadapi hari yang sukar dengan keluarga anda, adakah anda akan melepaskan kekecewaan anda kepada kanak-kanak di bawah jagaan anda? Jika anda merasa tertekan akibat kesibukan pada hari minggu, dapatkah anda menjalankan tugas dengan baik pada hari Isnin? Adalah tidak adil untuk menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa keadaan emosi anda dan adalah penting bagi anda untuk sentiasa ingat bahawa kanak-kanak boleh mengalami trauma melalui kelakuan negatif anda.
- Keupayaan Untuk Memahami Keperluan Kanak-Kanak
Kanak-kanak kecil dan bayi menggunakan isyarat dan bahasa badan untuk menyalurkan maklumat, manakala kanak-kanak dalam lingkungan umur dua tahun mempunyai bahasa mereka sendiri yang harus ditafsirkan dengan betul. Ada juga kanak-kanak yang suka menarik perhatian orang. Adakah anda mempunyai kebolehan mentafsirkan emosi mereka ini? Adakah anda sensitif terhadap keperluan mereka?
- Kesabaran
Kesabaran adalah ibu kepada semua sifat-sifat mulia, dan jika anda seorang yang penyabar, anda tentu akan berjaya dalam bidang pekerjaan ini. Anda boleh menjangka situasi yang akan berlaku yang akan mencabar kesabaran anda. Jika anda tidak boleh menghadapinya, kedua-dua pihak akan merana – kanak-kanak benci jika anda menjerit dan memarahi mereka dan anda sendiri lama-kelamaan akan mengalami masalah seperti kemurungan, sakit kepala atau darah tiggi!
- Pengetahuan Asas Mengenai Psikologi Kanak-Kanak
Apabila seorang kanak-kanak meragam, bagaimanakah reaksi anda? Kemahiran asas dalam psikologi kanak-kanak dapat membantu anda menjadi seorang penjaga yang lebih baik. Jika anda faham mengapa seorang kanak-kanak itu berkelakuan sedemikian, tugas anda akan menjadi lebih menyeronokkan.
- Pengetahuan Dalam Program Holistik Perkembangan Kanak-Kanak
Jika anda boleh menanamkan disiplin dan nilai-nilai positif dalam diri kanak-kanak dan membantu mereka mengenalpasti antara yang baik dan yang buruk, anda tentu sekali dapat membantu perkembangan diri mereka secara keseluruhannya.
- Pengetahuan Dalam Pertolongan Cemas Dan Penyakit Kanak-Kanak
Kanak-kanak sering mengalami kecederaan dan penyakit-penyakit ringan. Anda mestilah mempunyai kemahiran asas dalam menangani kecederaan dan menjaga kanak-kanak yang tidak sihat.
- Kemahiran Menangani Situasi Kecemasan
Situasi kecemasan termasuklah kemalangan dalam rumah, masalah kesihatan seperti serangan lelah dan masalah emosi seperti marah, merajuk dan sebagainya. Jika anda panik, ia hanya akan memburukkan keadaan. Adakah anda bersedia menghadapi situasi kecemasan seperti ini?
Adakah Rumah Anda Mesra Kanak-Kanak? Susunan perabot di rumah anda mungkin terpaksa diubah dengan kehadiran kanak-kanak di bawah jagaan anda. Dengan menggunakan sedikit imaginasi dan kemahiran, anda boleh mereka satu persekitaran yang sesuai dan selesa. Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara penting yang harus anda pertimbangkan dengan serius, iaitu:
- Ruang
Anda boleh menggunakan ruang tamu rumah anda sebagai tempat di mana kanak-kanak menjalankan aktiviti harian mereka seperti bermain (dalam kumpulan dan juga secara individu), menonton rancangan televisyen, menjalankan sessi bercerita dan tidur. Mereka boleh menggunakan meja makan anda untuk makan dan bilik air anda juga boleh mereka gunakan untuk keperluan mereka.
- Peralatan dan Perabot
Dengan hanya beberapa ratus ringgit, anda boleh menaikkan imej profesional anda. Persekitaran rumah anda akan menjadi lebih menarik dengan menambah beberapa meja dan kerusi kecil yang boleh digunakan oleh kanak-kanak di bawah jagaan anda membuat kerja-kerja menulis, melukis, kerjatangan dan aktiviti-aktiviti lain. Perabot ringkas ini boleh disusun dan diletakkan di sudut rumah selepas digunakan. Anda juga boleh menjadikan perkhidmatan anda kelihatan lebih menarik dengan menyediakan papan hitam atau papan putih, rak buku yang diisi dengan buku-buku cerita kanak-kanak dan VCD pendidikan serta kotak berisi mainan dan bahan-bahan pendidikan yang lain. Dengan menggunakan sedikit kreativiti, and boleh mengubah dinding rumah anda kepada galeri seni dengan lukisan-lukisan dan poster yang dibuat oleh kanak-kanak ini.
- Peti Pertolongan Cemas
Pastikan bahawa anda ada menyimpan ubat-ubatan asas atau peti pertolongan cemas di tempat yang selamat dan mudah dicapai untuk merawat kecederaan dan kesakitan kecil.
- Pertolongan
Jika anda mempunyai kanak-kanak yang hiperaktif dan hipersensitif di bawah jagaan anda, atau kanak-kanak istimewa yang memerlukan perhatian penuh, anda mungkin perlu mengambil seorang pembantu untuk membantu anda.
Adakah Keluarga Anda Bersedia Menerima Kanak-Kanak? Perniagaan anda dijalankan di rumah, jadi anda perlu mendapatkan sokongan keluarga anda untuk menjalankan tugas anda dengan jayanya. Pertimbangkan perkara-perkara ini:
- Sebelum memulakan perniagaan penjagaan kanak-kanak, anda hendaklah berbincang dahulu dengan suami, anak-anak dan ahli keluarga yang lain yang tinggal dengan anda. Tanya pendapat mereka dan kongsi idea anda dengan mereka. Ini penting kerana kehidupan peribadi mereka akan terjejas. Jika anda mempunyai ahli keluarga warga tua di rumah anda, bunyi bising dari kanak-kanak mungkin mengganggu mereka, dan ini perlulah dibincangkan secara teliti. Ahli keluarga yang memerlukan suasana sunyi dan aman untuk belajar juga mungkin tidak begitu suka dengan kehadiran kanak-kanak di rumah anda.
- Pasangan anda juga mungkin tidak bersetuju anda mengambil lebih tanggungjawab dengan menjaga anak orang lain. Jika anda mempunyai barang-barang yang mahal dan mudah rosak di rumah, beri jaminan kepada tuan empunyanya bahawa anda tidak akan membenarkan kanak-kanak ini menyentuh barang-barang mereka.
- Semasa kanak-kanak ini berada di bawah jagaan anda, ahli keluarga anda akan menerima kurang perhatian daripada anda. Yakinkan mereka tentang kebaikan anda bekerja dari rumah untuk mendapatkan sokongan mereka. Contohnya, ingatkan mereka tentang pendapatan tambahan yang boleh anda sumbangkan dan bagaimana ia boleh digunakan untuk faedah keluarga anda. Yakinkan pasangan anda bahawa anda tidak akan mengabaikan tugas-tugas di rumah kerana kanak-kanak di bawah jagaan anda tidak memerlukan anda 100 peratus pada setiap masa. Keluarga anda masih dapat menikmati masakan anda dan rumah anda pula tidak akan kelihatan seperti dipukul ribut selepas kanak-kanak itu pulang ke rumah masing-masing.
- Anda hendaklah meyakinkan ahli keluarga anda bahawa mereka tidak akan diabaikan, tidak kiralah berapa banyak tanggungjawab tambahan yang terpaksa anda pikul. Ini sangat penting terutamanya jika anda mempunyai anak kecil yang mungkin akan berasa cemburu dan menganggap kanak-kanak lain sebagai pencabar.
- Selepas “waktu perniagaan”, jalankan aktiviti di rumah seperti biasa. Perabot tambahan di sudut ruang tamu mungkin akan mengingatkan anda tentang kerja, tetapi ia tidak harus menggugat semangat kekeluargaan apabila semua orang berada di rumah pada waktu malam.
- Walaupun anak-anak anda faham dengan profesion baru anda ini, mereka masih juga memerlukan ibu mereka untuk memenuhi keperluan-keperluan mereka. Anda harus mengambil makanan dan vitamin tambahan yang boleh membantu menambah tenaga anda semasa dan selepas waktu perniagaan anda.
- Jika anda mempunyai anak kecil, rancangkan aktiviti kanak-kanak di bawah jagaan anda sama dengan rutin anak-anak anda sendiri seperti waktu menonton televisyen dan membuat kerja sekolah. Galakkan ahli keluarga anda untuk berkawan dengan kanak-kanak yang anda jaga. Dengan cara ini, mereka juga boleh menjalin perhubungan mesra dengan kanak-kanak ini.
- Pada setiap akhir bulan, hadiahkan keluarga anda dengan hadiah penghargaan bagi kerjasama mereka. Anda boleh membeli atau membuat hadiah atau kad ucapan untuk mereka. Penghargaan seperti ini boleh menjadi motivasi kepada mereka untuk membantu anda apabila perlu.
- Dalam merancang aktiviti kanak-kanak di bawah jagaan anda, minta ahli keluarga anda untuk turut serta dalam merancang strategi dan modul aktiviti untuk kanak-kanak ini. Ini dapat membantu mereka untuk lebih memahami perjalanan bisnes anda dan masalah-masalah yang anda hadapi dan bantuan yang anda mungkin perlukan daripada mereka. Walaupun anak anda masih di pra-sekolah, cuba fahamkan mereka tentang kepentingan bisnes anda dan berikan tanggungjawab kecil kepada mereka.
 | | |   | | LOG MASUK | | | Kerja Sambilan, Tele-Kerja | Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini. | | | | 
Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut. | | RAKAN STRATEGIK | Perkhidmatan PJ POINT untuk pekerja di rumah. | | | | | | |
|
|
|