Apa Akan Jadi Jika Anda Mengeluarkan Cek Tidak Laku?
by www.bankinginfo.com.my
Setiap cek tak laku yang dikeluarkan dianggap sebagai satu kejadian cek tak laku. Bank pembayar akan mengeluarkan satu surat amaran setiap kali terjadi cek tak laku.
Sekiranya cek tak laku dikeluarkan dari akaun yang sama sebanyak tiga kali dalam tempoh 12 bulan, anda akan dianggap sebagai pesalah cek tak laku dan akibatnya ialah:
Akaun semasa anda akan ditutup dan nama anda akan dilaporkan oleh bank pembayar ke Biro Kredit
Nama anda akan dimasukkan di dalam senarai pesalah cek tak laku dan senarai tersebut akan diedarkan kepada bank-bank lain di seluruh negara
Apabila bank-bank tersebut menerima senarai yang diedarkan oleh Biro Kredit, semua akaun semasa anda dengan bank-bank berkenaan akan ditutup dalam masa satu bulan. Penutupan ini dikenali sebagai Penutupan Seluruh Negara dan akaun-akaun yang terlibat adalah seperti berikut:
Anda adalah dikehendaki memulangkan semua cek yang belum terpakai kepada bank anda
Suatu tempoh larangan akan dikenakan kepada anda, di mana anda tidak dibenarkan membuka atau mengendalikan sebarang akaun semasa dengan mana-mana bank di Malaysia
Sebaik sahaja tamatnya tempoh larangan, suatu tempoh percubaan akan dikenakan kepada anda
TEMPOH LARANGAN Tempoh larangan adalah tempoh di mana anda tidak dibenarkan membuka atau mengendalikan akaun semasa di mana-mana bank. Tempoh larangan bermula dari tarikh kejadian cek tak laku yang ketiga. Panjangnya tempoh larangan bergantung kepada tahap kesalahan dilakukan. Bagi tahap kesalahan peringkat pertama, tempoh larangan yang dikenakan adalah selama enam bulan dari tarikh kejadian cek tak laku yang ketiga.
TEMPOH PERCUBAAN Tempoh percubaan bermula sebaik sahaja tamatnya tempoh larangan. Dalam tempoh percubaan, anda boleh mengendalikan akaun semasa. Walau bagaimanapun, pengeluaran tiga lagi cek tak laku dalam tempoh ini akan menyebabkan anda dikelaskan sebagai pesalah cek tak laku tahap kedua dan tempoh larangan yang dikenakan akan dilanjutkan.
AKAUN KHAS Akaun Khas ialah sejenis akaun semasa tanpa kemudahan cek. Akaun khas ini membolehkan anda membuat dan menerima bayaran dalam tempoh larangan. Walau bagaimanapun, kelulusan untuk membuka akaun tersebut adalah terletak kepada budi bicara pihak bank dan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
Disediakan hanya kepada syarikat, perusahaan perkongsian, perusahaan keempunyaan tunggal dan individu yang mempunyai kemudahan overdraf. Individu ini boleh juga membuka akaun tabungan
Pesalah tahap pertama dan kedua sahaja yang layak membukanya
Kesemua cek yang belum terpakai mestilah diserahkan kepada pihak bank. Oleh itu, pengeluaran dari akaun khas ini hanya boleh dibuat melalui pengeluaran tunai, cek bank, draf bank atau perintah juruwang