Cek sudah diterima umum sebagai kaedah membuat pembayaran yang mudah di kalangan masyarakat perniagaan. Walau bagaimanapun, ada kalanya cek terpaksa dikembalikan oleh bank pembayar akibat ketidakcukupan dana di dalam akaun, cek yang didepositkan tetapi dana belum boleh lagi digunakan oleh pemegang akaun atau akaun semasa pemegang akaun sudah ditutup. Cek-cek tersebut biasanya dipanggil cek tak laku. Pengeluaran cek tak laku boleh mengakibatkan kesan yang serius ke atas kemampuan anda untuk mengendalikan akaun semasa.
Halaman ini menyediakan maklumat mengenai kesan pengeluaran cek tak laku.
CEK TAK LAKU BERMAKNA SESUATU YANG TIDAK DIINGINI AKAN BERLAKU
Pengeluaran cek tak laku boleh memberi masalah. Pemegang akaun yang mengeluarkan tiga cek tak laku dalam tempoh 12 bulan tidak dibenarkan mengendalikan akaun semasa di Malaysia untuk jangka masa tertentu di antara 6 hingga 24 bulan bergantung kepada tahap kesalahan yang dilakukan.
Cek tak laku juga boleh menjejaskan hubungan pengeluar dengan penerima cek memandangkan ia mungkin mengakibatkan seseorang terlepas peluang perniagaan akibat kehilangan kepercayaan di antara pengeluar dan penerima cek. Yang lebih penting lagi ialah pengeluaran cek tak laku ini akan menjejas penerimaan cek sebagai satu kaedah pembayaran di Malaysia.
Walaupun bank mengenakan penalti ke atas cek tak laku, ini masih tidak menghalang sesetengah pemegang akaun daripada mengeluarkan cek tak laku.
BANK NEGARA MALAYSIA DAN CEK
Peningkatan kejadian cek yang dikembalikan akibat dana yang tidak mencukupi telah mendorong Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia, secara perundingan dengan Bank Negara Malaysia (BNM), bagi mencari langkah yang berkesan untuk mengatasi masalah tersebut. BNM telah menubuhkan Biro Maklumat Cek (BMC) pada tahun 1988 sebagai sebuah biro pusat untuk mengawasi pengeluaran cek tak laku dan untuk menggalakkan penggunaan cek sebagai satu kaedah pembayaran yang diterima umum. Bagi memastikan amalan yang seragam di kalangan bank-bank, BNM telah menerbitkan "The Biro Maklumat Cek Operational Framework and Reporting Guidelines" untuk mengatasi masalah pengeluaran cek tak laku.
Pada Mac 2002, selaras dengan pindaan pada Akta Bank Negara Malaysia 1958, BNM telah menggabungkan operasi BMC dengan Biro Kredit, iaitu, biro yang ditubuhkan untuk mengumpul dan menyebarkan maklumat kredit (termasuk maklumat mengenai cek tak laku) kepada institusi perbankan dan institusi kewangan yang lain. Berkuat kuasa Mac 2002, operasi BMC telah dipindahkan ke Biro Kredit.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN CEK TAK LAKU?
Cek tak laku adalah cek yang dikeluarkan oleh pemegang akaun yang ditolak dan dikembalikan oleh bank pembayar, sekiranya pengeluarannya dibuat:
- Dari akaun tanpa dana yang mencukupi; atau
- Dari akaun yang telah ditutup atas sebab selain daripada disenaraihitamkan di bawah Biro Kredit melalui Sistem BMC atau ditutup atas sebab perundangan seperti muflis; atau
- Ke atas cek yang didepositkan tetapi dana belum boleh lagi digunakan oleh pemegang akaun kerana cek ini belum dijelaskan (Ini dikenali sebagai efek belum jelas)
Berhubung dengan butiran (ii), akaun yang telah ditutup, contohnya akaun yang ditutup secara sukarela, akan diawasi oleh bank pembayar berkenaan selama 12 bulan dari tarikh akaun ditutup. Sekiranya tiga cek tak laku dikeluarkan dalam tempoh tersebut, akaun ini akan dilaporkan ke Biro Kredit melalui Sistem BMC.