A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

KEMBALI BUJANG: Undang-Undang Syariah

Ingin Berpoligami - Bimbang Isteri Bantah

by Utusan Online - Sisters In Islam

Keluarga Dan Undang-Undang: Sisters In Islam
Soalan:
SAYA telah berkahwin dan kini mempunyai
lima orang anak. Saya kini telah jatuh cinta sekali lagi dan ingin melangsungkan perkahwinan. Saya dan kekasih bercadang untuk berkahwin pada pertengahan tahun hadapan. Saya yakin bahawa saya berkemampuan dan mampu untuk menjaga dua keluarga. Walaupun begitu saya khuatir bahawa isteri saya akan membantah. Adakah isteri saya perlu tahu mengenai niat saya untuk berkahwin lain? - Juma'at Dollah, Ampang, Kuala Lumpur

Jawapan:
Mengikut undang-undang Islam, seorang lelaki dibenarkan berkahwin lebih daripada seorang isteri dengan syarat dia boleh berlaku adil kepada mereka.

Dalil membenarkan poligami ini dinyatakan dalam surah Al-Nisa' ayat 3 yang bermaksud:

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak yatim, maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara isteri-isteri kamu, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan telah memperuntukan tentang poligami. Seksyen 23(1) telah memperuntukan bahawa seorang lelaki yang mahu berkahwin lain perlu untuk memohon keizinan daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

Sekiranya dia berkahwin tanpa kebenaran maka perkahwinan tersebut tidak boleh didaftarkan.

Oleh itu dalam kes ini, Encik sebagai suami hendaklah memohon kebenaran untuk berpoligami di Mahkamah Syariah. Permohonan ini hendaklah menyatakan alasan-alasan berikut:

- Mengapa perkahwinan yang dicadangkan adalah patut dan perlu

- Pendapatan pemohon

- Butir-butir komitmen, kewajipan, tanggungan kewangan

- Bilangan orang tanggungan termasuk mereka yang akan ditanggung dan

- Sama ada izin dan pandangan isteri sedia ada telah diperoleh

Perkara ini telah diperuntukan oleh Seksyen 23(3) Akta.

Pada kebiasaannya , mahkamah akan memanggil isteri sedia ada supaya hadir apabila permohonan tersebut didengar untuk mengambil keterangan berkaitan dengan permohonan tersebut. Ini diperuntukkan dalam Seksyen 23(4) (a).

Apabila dipanggil oleh mahkamah pada hari yang ditetapkan, isteri perlulah tampil ke mahkamah memberi keterangan. Kebenaran akan diberikan sekiranya mahkamah berpuas hati sama ada:

a. Perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu. Mahkamah juga akan memandang kepada antara lainnya hal-hal mengenai kemandulan, uzur jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, gila di pihak isteri dan sebagainya.

b. Suami berkemampuan untuk menanggung semua anggota keluarga dengan melihat jumlah tanggungan sedia ada dan yang bakal ditanggung.

c. Suami berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut hukum syarak dan

d. Perkahwinan yang dicadangkan tidak menyebabkan darar syarie kepada isteri yang sedia ada. Darar syarie bermaksud bahaya yang boleh menyentuh isteri dari segi agama, nyawa, tubuh, akal fikiran atau harta benda.

Apabila isteri hadir ke mahkamah memberi keterangan mengenai perkara yang ditimbulkan oleh suami seperti di atas, mahkamah akan menilai sama ada kesemua perkara di atas dipenuhi.

Sekiranya mahkamah berpuas hati, maka mahkamah akan membenarkan permohonan berpoligami walaupun tanpa persetujuan isteri yang sedia ada.

Bagaimanapun perlu diingat, bahawa mahkamah perlu mengikut Seksyen 23 dengan mematuhi kesemua syarat dan keperluan dalam seksyen tersebut tanpa mengabaikan salah satu daripadanya.

Sekiranya mahkamah membenarkan poligami tersebut tanpa menilai atau berpuas hati dengan kesemua syarat-syarat dan keperluan yang diperuntukkan isteri boleh merayu terhadap keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari selepas keputusan dibuat.

Kes yang telah menjejaskan kepentingan syarat tersebut ialah Aishah lwn Wan Mohd. Yusof (1990) 7 Jurnal Hukum ms 152. Jawatankuasa Rayuan telah menolak keputusan Hakim Mahkamah Syariah Shah Alam yang telah membenarkan permohonan berpoligami atas alasan pemohon ada kemampuan nafkah zahir dan batin, serta takut berlaku zina dan maksiat.

Isteri telah merayu kepada Jawatankuasa Rayuan yang membenarkan kerana Hakim terdahulu tidak langsung mengambil kira kesemua syarat di bawah Seksyen 23(4). Ia juga menyatakan bahawa sebagai seorang Islam suami patut boleh mengawal nafsu dan mengelakkan zina atau perkara maksiat.

Suami harus membuktikan bahawa dia memenuhi semua syarat dan keperluan di dalam Seksyen 23. Ini telah diputuskan oleh Jawatankuasa Ulang Bicara Selangor dalam kes Rajamah lwn Abd Wahab(1990) Jurnal Hukum 171, iaitu beban membuktikan bahawa ia boleh mempunyai lebih daripada satu isteri adalah ke atas suami.

Oleh kerana suami gagal membuktikan, kebenaran untuk berpoligami telah dibatalkan.

Sekiranya suami berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, isteri boleh membuat aduan mengenai perkara tersebut di Bahagian Pengaduan dan Penguatkuasaan Syariah Jabatan Agama Islam. Jika disabitkan kesalahan suami boleh dihukum dan ia tidak lebih RM 1,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan. - Panel peguam Sisters In Islam

-- Sebarang pertanyaan atau kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam, No.25, Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya, Selangor atau telefon 03-79604485 atau faks 03-79604737 atau e-mel ke alamat sistersinislam@pd.jaring.my.

Sumber Dari: www.utusan.com.my





E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2014. Semua hak terpelihara.