A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

KESIHATAN / KESELAMATAN: Makanan Berkhasiat

Utamakan Sayuran, Buahan Dalam Pemakanan

by Berita Harian - Azran Jaffar

RAMAI di kalangan kita mengatakan mereka mungkin boleh melawan godaan makanan manis, namun tidak untuk makanan tanpa garam kerana ada yang beranggapan tanpa garam tidak sempurna apa yang dimakan – tawar, tiada rasa dan kurang nikmat.

Namun, apabila diberitahu doktor bahawa tekanan darah meningkat dan perlu mengurangkan garam dalam makanan, golongan ini akan berkata, kenapa yang ini kerana ia terlalu payah untuk dihindari.

Garam dan tekanan darah tinggi bagaikan satu pertalian yang sukar untuk dirungkai. Walaupun wujud hubungan antara kedua-dua ini, tetapi sejak beberapa tahun lalu nasihat mengenai garam terhadap tekanan darah adalah pelbagai.

Ini kerana, ada setengah pakar mengatakan pengambilan garam yang terlalu banyak boleh menyebabkan tekanan darah meningkat manakala ada pakar pula mengatakan bagi kebanyakan orang, garam bukanlah satu masalah.

Apa pun, sejak 1972 di beberapa negara maju, garam sudah menjadi satu topik dalam kempen serta program pengawalan tekanan darah. Nasihat ini berdasarkan kepada beberapa kajian dijalankan yang menunjukkan kandungan garam yang tinggi berkait rapat dengan penyakit hipertensi.

Kajian terbaru yang dijalankan pakar hipertensi Britain, Malcolm Law dan diterbitkan di dalam Journal of Cardiovascular Risk keluaran Februari 2002, membuat kesimpulan, mengurangkan pengambilan sodium mampu menurunkan tekanan darah purata sebanyak 10 mata (10mmHg).

Walaupun kajian terbaru ini mengatakan sedemikian namun ada yang melihat sebaliknya.

Pada 1984 sekumpulan penyelidik di Oregon Health Sciences University di Portland, Amerika Syarikat yang menganalisis data pemakanan di seluruh negara itu mendapati tidak ada bukti mengatakan makanan bergaram mempengaruhi tekanan darah.

Pada 1988 pula kajian yang dijalankan di Scotland terhadap 7,300 lelaki di pusat kajian jantungnya juga mendapati kesimpulan sama iaitu jumlah garam yang diambil tidak ada kesan terhadap tekanan darah.

Kadar normal tekanan darah ialah bacaan systolic (mengira tekanan maksimum yang dipergunakan apabila jantung menguncup) kira-kira 120 mmHg, manakala bacaan diastolic (kadar rendah yang mengira tekanan apabila jantung dalam keadaan rehat) antara 70 ke 80 mmHg.

Namun satu yang pasti ialah, tekanan darah tinggi adalah merbahaya.

Penemuan yang diterbitkan oleh The New England Journal of Medicine menunjukkan, mereka yang mendapat kenaikan 10 mmHg untuk systolic dan 5 mmHg untuk diastolic adalah 28 peratus berkecenderungan untuk mati akibat penyakit jantung berbanding mereka yang bacaan tekanan darah normal.

Berdasarkan kajian itu, penemuan yang diperoleh program Dietary Approaches to Stop Hypertension (DASH) membantu dalam menerangkan mengenai hubungan garam dan tekanan darah.

Dalam kajian yang dijalankan pada tahun 1997 menunjukkan mereka yang mengambil banyak sayur dan buahan bersama makanan tenusu rendah dan tidak berlemak berserta jumlah pengambilan daging yang sederhana mampu mengurangkan tekanan darah beberapa mata dan bagi yang mengalami hipertensi memperlihatkan pengurangan sehingga 11 mata.

Bagaimanapun, kajian yang dijalankan DASH ini tidak mengira pengambilan sodium.

Untuk itu satu kajian baru dilaksanakan yang membabitkan seramai 400 orang dan mereka diminta untuk mengamalkan dua bentuk diet yang menekankan kepada pengambilan sayur dan buahan, bijirin, daging, ikan, kekacang serta produk tenusu rendah lemak.

Bagi empat minggu pertama, kedua-dua kumpulan mengambil 3,300 miligram sodium sehari, jumlah yang diambil kebanyakan penduduk Amerika dan menurunkannya kepada 2,400 miligram sehari empat minggu berikutnya.

Pada empat minggu seterusnya, jumlah itu diturunkan lagi kepada 1,500 miligram.

Keputusannya amat memberangsangkan yang menunjukkan lebih kurang garam diambil, lebih banyak tekanan darah mereka jatuh. Yang mendapat lebih faedah ialah mereka yang menghidap hipertensi.

Kajian itu menunjukkan dengan pengambilan hanya 1,500 miligram garam, bacaan systolic jatuh 11.5 mata. Apa yang lebih menggembirakan ialah mereka yang tekanan darahnya normal mampu menurunkan kadar bacaan berkenaan sehingga tujuh mata.

Kajian ini menunjukkan pentingnya mengurangkan pengambilan sodium di dalam makanan dan digalakkan untuk mengambil kurang daripada jumlah itu kerana ia mampu mengurangkan tekanan yang mana salah satunya berpunca daripada peningkatan umur.

Penyelidik DASH tidak bersendirian dalam hal ini kerana Majlis Kajian Kebangsaan di Akademi Sains Kebangsaan Amerika baru-baru ini, membuat kesimpulan bahawa jumlah pengambilan sodium yang tepat ialah sekitar 1,800 miligram sehari - hampir sama dengan kajian DASH serta apa yang diambil kebanyakan kita.

Namun, bagi kebanyakan kita mengurangkan garam bukanlah sesuatu yang senang kerana sudah menjadi tabiat. Untuk itu beberapa cara boleh dilakukan untuk mengatasi perkara ini;

Ganti penggunaan garam dengan herba dan rempah.

Jika dulu kerepek dan keropok masin menjadi kegilaan, kurangkan pengambilannya.

Kebanyakan makanan dalam tin atau yang sudah siap diproses mengandungi sodium yang tinggi. Alihkan tumpuan anda daripada makanan sebegini dan baca kandungan sodium yang dicatatkan pada tin atau paket makanan berkenaan. Pilih hanya yang rendah kandungan sodium.

Lebihkan makan buahan dan sayur.

Amalan sebegini berkesan kepada kebanyakan orang yang berusaha untuk mengurangkan kadar tekanan darah dan bagi kaki garam mengubah selera adalah lebih menguntungkan daripada terpaksa bergantung kepada pil setiap hari.


Sumber Dari :
Berita Harian Online




E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2013. Semua hak terpelihara.