A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

KESIHATAN / KESELAMATAN: Makanan Berkhasiat

Khasiat Buah-Buahan Bantu Kurangkan Kolesterol

by Utusan Online - Aizawati Ahmad

TAHUKAH anda bahawa jambu batu merupakan buah yang paling berkhasiat bagi membekalkan vitamin dan mineral kepada tubuh manusia?

Buah tersebut juga efektif menurunkan paras kolesterol dalam darah manusia dan amat bagus sekiranya dimakan setiap hari.

Jambu batu tergolong dalam kumpulan makanan berfungsi yang banyak mendatangkan manfaat kepada kesihatan manusia.

Bagaimanapun, pengambilan buah jambu batu perlu dibuat dalam jumlah yang mencukupi bagi memastikan khasiatnya berupaya memberi tindak balas kepada tubuh secara berkesan.

Ketua Unit Sains Pemakanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rokiah Yusof berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil jambu batu sebanyak 400 gram sehari iaitu sebiji setengah selama empat minggu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Simposium Makanan Berfungsi Asia Pasifik di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut beliau, buah itu perlu dimakan bersama kulit-kulitnya sekali kerana ia mengandungi khasiat yang tinggi.

Selain dimakan begitu sahaja buah jambu batu juga boleh dibuat jus tetapi cara penyediaannya perlu asli iaitu tidak ada gula di dalamnya.

Dr. Rokiah memberitahu, jambu batu sesuai diambil untuk amalan diet seimbang terutama bagi mereka yang mengalami masalah berat badan.

Beliau menasihatkan supaya buah jambu batu dijadikan sebagai amalan tetap dalam gaya pemakanan.

Katanya, bagi mereka yang menghadapi masalah paras kolesterol tinggi dalam darah, jambu batu boleh mengurangkan kolesterol iaitu 18.8 peratus dalam masa seminggu.

"Tetapi pesakit mestilah mengambil buah jambu batu setiap hari bagi memastikan keberkesanannya,'' ujar beliau.

Selain jambu batu, buah betik juga boleh menurunkan paras kolesterol sebanyak 19.2 peratus sekiranya diambil secara rutin dalam jangka waktu empat minggu.

Buah betik yang sudah dibuang biji dan kulitnya perlu diambil sebanyak 400 gram sehari.

Nanas turut tergolong dalam kumpulan buah yang mengandungi vitamin yang tinggi dan ia boleh diambil dalam jumlah yang sama iaitu 400 gram.

Dr. Rokiah menjelaskan, asid yang ada dalam nanas membantu tubuh dan ia tidak memudaratkan mereka yang mengambilnya.

"Dalam nanas ada tambahan vitamin C dan nanas turut berfungsi sebagai antioksida.

"Malah nanas juga berupaya menurunkan paras kolesterol sebanyak 8.38 peratus dalam masa tiga minggu sahaja,'' katanya lagi.

Bagi penggemar pisang emas pula mungkin ini merupakan perkhabaran gembira untuk anda kerana buah tersebut juga berfungsi mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

Pisang emas boleh diambil sebanyak empat hingga lima biji sehari dalam tempoh empat minggu.

Bagaimanapun, pisang emas masih tidak dapat menandingi jambu batu yang disifatkan sebagai buah yang paling bagus diikuti dengan nanas, tembikai, belimbing dan betik.

Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil lima jenis hidangan buah-buahan sehari kerana ia membekalkan vitamin, mineral dan serat kepada tubuh.

Dalam pada itu, Dr. Rokiah juga menolak dakwaan segelintir masyarakat yang menyifatkan sesetengah buah seperti nanas dan betik sebagai ``tajam serta mendatangkan angin dalam tubuh.''

Menurut beliau, tidak terdapat bukti saintifik yang menunjukkan buah-buahan berkenaan memudaratkan kesihatan manusia.

"Ini hanya kepercayaan masyarakat. Tidak ada bukti saintifik yang membuktikan kenyataan mereka itu benar,'' terangnya.

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM telah menjalankan kajian terhadap khasiat buah-buahan tempatan sejak tiga tahun lalu.

"Kami memilih buah kerana semua orang suka makan buah. Ia berbeza dengan sayur-sayuran kerana tidak semua orang gemarkan sayur,'' jelas beliau.

Satu kajian UPM ke atas penduduk luar bandar pada tahun lalu menunjukkan buah-buahan tempatan seperti jambu batu, nanas dan betik berupaya membantu mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

Dr. Rokiah berkata, walaupun orang kampung tidak terdedah kepada makanan ringan tetapi menerusi pemeriksaan kesihatan yang dilakukan, para penyelidik mendapati paras kolesterol dalam darah mereka tinggi.

UPM telah melakukan kaji selidik dengan memberi pesakit terbabit buah-buahan tempatan iaitu jambu batu, nanas, betik, tembikai dan belimbing mengikut sukatan yang ditetapkan.

Selepas tempoh tertentu, paras kolesterol dalam darah pesakit-pesakit terbabit diuji dan didapati telah berkurangan berbanding sebelumnya.

Dr. Rokiah kesal kerana orang ramai masih tidak mengambil buah-buahan dalam jumlah yang mencukupi.

"Masyarakat sekarang lebih gemar mengambil makanan tambahan dalam bentuk pil sedangkan ada segelintir daripada produk berkenaan diragui keberkesanannya,'' katanya.

Sumber Dari : Utusan Online





E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2014. Semua hak terpelihara.