A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

KESIHATAN / KESELAMATAN: Kesihatan Wanita

Risau Darah Haid Terlalu Banyak

by www.bharian.com.my

SOALAN:

SAYA seorang suri berusia 28 tahun dan berumah tangga setahun lalu bersama duda anak lima. Saya mengalami masalah haid tidak normal sejak 1999.

Pendarahan terlalu lama, biasanya haid saya 10 hingga 12 hari, kadangkala berlarutan sampai lebih 20 hari. Walaupun keadaan begini sekali-sekala saja berlaku tetapi doktor mengatakan saya perlu mengambil pil perancang (nordett) untuk menstabilkan haid saya.

Dari Jun hingga Julai, haid saya tidak menentu. Darah haid yang keluar juga terlalu banyak menyebabkan kemaluan saya melecet dan gatal-gatal walaupun saya kerap menukar tuala wanita.

Oleh kerana terlalu risau, saya menjalani rawatan di klinik swasta dan melalui pemeriksaan pap smear dan skan.

Doktor kemudiannya memberi saya ubat untuk menghentikan darah haid yang terlalu lama dan banyak. Seminggu kemudian saya pergi semula ke klinik dan menjalani skan dan disuruh mengambil pil Nordett selama tiga bulan.

Apakah perlu saya terus mengambil pil itu? Bagaimanakah mengatasi masalah saya? Harap doktor dapat membantu saya mengatasi kebuntuan saya ini. Terima kasih.


Suri Risau
Pahang



JAWAPAN:

PERMASALAHAN pendarahan haid boleh berlaku pada bila-bila masa ketika di alam reprodukrif tetapi lazimnya, ia berlaku pada remaja yang baru mengalami pendarahan haid ataupun pada wanita melebihi 40 tahun, era sebelum menopaus.

Oleh kerana puan masih muda, kemungkinan besar permasalahan pendarahan haid ini berlaku kerana ketidakseimbangan hormon. Walaupun begitu, pemeriksaan ultra bunyi diperlukan untuk memastikan rahim adalah normal dan tiada ketumbuhan dalam rahim ataupun di kilang ovari.

Pemeriksaan ultra bunyi juga boleh mengesan kehamilan. Kadangkala pendarahan haid yang tidak normal juga boleh disebabkan oleh permasalahan di awal kandungan.

Ada beberapa pilihan untuk merawat permasalahan haid yang disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon. Bagi mereka yang tidak menginginkan kehamilan, rawatan dengan mengambil pil perancang adalah terbaik untuk merawat haid yang tidak menentu dan pendarahan yang panjang sekali gus mendapat perlindungan daripada kehamilan.

Pil perancang yang mengandungi kedua-dua hormon estrogen dan progestogen akan menghalang proses ovulasi.

Pendarahan haid yang berlaku secara tetap adalah disebabkan perjalanan hormon di dalam badan sudah diambil alih oleh hormon yang terkandung di dalam pil itu.

Kandungan kadar hormon dalam pil adalah lebih tinggi daripada yang ada di dalam badan seseorang wanita.

Sebaliknya bagi wanita yang inginkan kehamilan, ada pilihan lain yang mungkin lebih sesuai untuk membantu mencapai kehamilan.

Sehubungan itu, untuk memastikan sama ada puan mengalami keguguran, ketulan daging yang keluar perlulah dihantar ke makmal supaya dapat dibuat kajian pengesahan kehamilan.

Kadangkala, ketulan macam daging ini boleh dikeluarkan apabila seseorang wanita mengambil ubat-ubatan yang mengandungi hormon progestogen yang lazim diberikan untuk memberhentikan pendarahan haid.

Pemeriksaan makmal boleh mengesahkan bahawa tisu seperti ketulan daging hanyalah "decidua" (tisu dinding rahim) dan bukannya janin.

Pemeriksaan secara mata kasar tidak dapat membezakan antara dua jenis tisu ini manakala ketulan darah dapat dibezakan daripada tisu jika ketulan itu boleh dipecah-pecahkan.

Keguguran pada awal kehamilan lazimnya berlaku disebabkan oleh janin yang mempunyai masalah seperti kromosom.

Seseorang wanita yang ingin hamil perlu menjaga pemakanannya dan mengelak pengambilan ubat-ubatan doktor ataupun ubatan tradisional yang boleh menjejaskan pembentukan dan pembesaran janin.

Perlu diingatkan bahawa pengambilan herba ataupun akar-akar kayu dalam kuantiti yang banyak juga boleh menjejaskan organ-organ tubuh badan manusia.

Apabila seseorang wanita hamil, banyak perubahan berlaku pada organ dan sistem dalam tubuh badannya. Secara amnya, perubahan ini adalah perubahan yang tidak kekal tetapi hanya untuk penyesuaian sementara dan tidak menyebabkan kesan buruk pada ibu.

Semua perubahan ini akan kembali pulih ketika dalam pantang. Contoh sistem atau organ yang mengalami perubahan ialah sistem reproduktif, otot, tulang terutamanya tulang belakang dan pelvis, sistem pendarahan dan pembekuan, sistem pernafasan dan sistem pembuangan sisa toksik (buah ginjal).

Justeru, untuk memastikan sistem itu kembali pulih, seseorang wanita ketika pantang memerlukan pemakanan yang berkhasiat dan seimbang untuk menampung keperluannya dan mempercepatkan pembaikan tisu.

Selain daripada itu, senaman perlu dilakukan untuk mengembalikan otot dan ligamen yang kendur ketika proses bersalin.

Oleh kerana tidak banyak perubahan berlaku ketika gugur pada tahap awal kehamilan, tempoh pantangnya, jika hendak diamalkan, tidaklah selama dan seteruk selepas bersalin.

Pendarahan nifas selepas keguguran adalah lebih pendek jika dibandingkan dengan pendarahan nifas selepas bersalin.

Oleh itu seseorang wanita boleh mula melakukan amal ibadat termasuk berjimak bersama suami apabila bersih daripada nifas.

Sumber Dari : Berita Harian Online





E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2014. Semua hak terpelihara.