A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

SUARAKU: Bekerja Dari Rumah

Gembira Tinggal Di Rumah

by (Pasangan suami isteri bekerja dari rumah – Sareena Ismail dan Jefri Ahmad)

Keadaan telah memaksa Sareena Ismail meletakkan jawatan sebagai wartawan untuk bekerja dari rumah enam tahun lalu. Suaminya, Jefri Ahmad mengikut jejak langkahnya tidak lama kemudian. Mereka kini menguruskan perniagaan dari rumah dan menjalani kehidupan yang gembira dengan anak tunggal mereka, Azhar.

 

Sudah lama Sareena Ismail dan keluarganya tidak makan di ruang makan rumah mereka. Ini tidak menghairankan kerana ruang itu kelihatan seperti sebuah pejabat, bukannya satu tempat untuk duduk dan makan. “Kami sudah biasa makan di bilik rehat,” kata Sareena sambil tersenyum.

 

Dia dan suaminya, Jefri Ahmad, telah bekerja dari rumah selama beberapa tahun dan mereka gembira dengan cara ini. Mereka menguruskan sebuah syarikat pengurusan acara yang turut menyediakan perkhidmatan penyuntingan.

 

Sareena, 45 tahun, merupakan seorang wartawan di sebuah akhbar tempatan sebelum dia meletakkan jawatan enam tahun lalu untuk tinggal di rumah dan menjaga anak tunggalnya, Azhar, yang kini berusia 15 tahun. Jefri, 50 tahun, meletakkan jawatannya sebagai penolong penyunting sebuah majalah kira-kira lima tahun lalu untuk menumpukan perhatian kepada perniagaannya sendiri.

 

Sareena masih ingat lagi: “Waktu kerja saya begitu panjang. Semasa saya menjadi wartawan, saya sering keluar rumah pada jam 8 pagi dan jika nasib saya baik saya boleh pulang ke rumah pada pukul 7 petang. Apabila saya menjadi sub-editor, saya biasanya bekerja dari pukul 3 petang hingga tengah malam. Selepas beberapa lama, saya sedar bahawa saya tidak mendapat kepuasan apa-apa dari pekerjaan saya. saya benci masa kerja saya kerana saya mendapati bahawa saya mempunyai sedikit sahaja masa untuk diluangkan bersama anak dan suami saya.”

 

Teman-teman rapatnya menasihatkan Sareena supaya berhenti kerja dan menjadi penulis bebas. Jefri juga menyokong idea ini. “Kami berdua tidak begitu suka anak kami meluangkan lebih masa dengan pembantu rumah daripada dengan kami,” katanya. Kemudian, suatu hari pembantu rumah mereka melarikan diri. Peristiwa ini rupa-rupanya merupakan satu hikmah; Sareena menggunakan peluang itu untuk meletakkan jawatan.

 

Dan sejak itu dia tidak menoleh ke belakang. Kini dia mempunyai seorang pembantu rumah untuk memasak dan mengemas rumah, kerana dia tidak mahu dibebani dengan kerja-kerja rumah. Pada awalnya, sebagai seorang penulis bebas pendapatannya kurang daripada sebelum itu, tetapi dia tidak kisah.

 

“Apa yang penting ialah saya dapat meluangkan lebih masa dengan Azhar,” katanya. Pada ketika itu pelajaran anaknya itu agak lemah dan Sareena menggunakan peluang ini untuk mengajarnya. Dalam masa beberapa bulan, prestasinya telah meningkat.

 

Apabila Jefri meletakkan jawatan untuk menubuhkan perniagaan sendiri, pasangan ini terpaksa berjimat selama beberapa bulan kerana pendapatan mereka berkurangan. Jefri menceritakan, “Saya telahpun mempunyai beberapa orang pelanggan tetap ketika itu tetapi bayaran yang diterima agak lambat. Oleh itu kami terpaksa menggunakan wang simpanan setiap kali kami kekurangan wang.”

 

Tetapi selepas beberapa tahun, keadaan mereka semakin baik dan perniagaan mereka semakin maju dengan jumlah pelanggan yang meningkat. “Dari segi kewangan, bekerja dari rumah begitu menjimatkan kerana kami tidak perlu membayar sewa yang mahal dan membayar gaji pekerja,” terangnya.

 

Bagaimanakah hidup mereka telah berubah sejak mereka mula bekerja dari rumah? “Hidup kami lebih senang sekarang,” jelas Sareena. Selain dari segi kewangan, mereka kini juga semakin rapat sebagai sebuah keluarga dan lebih saling memahami.

 

Orang yang paling gembira ialah Azhar. “Semasa dia masih kecil, dia sering melarang saya kembali bekerja sepenuh masa. Saya sedar bahawa kanak-kanak mahukan ibu bapa mereka berada di samping mereka. Semasa saya bekerja sepenuh masa, saya sering rasa bersalah apabila saya pulang ke rumah pada waktu malam dan Azhar bertanya mengapa saya tidak pulang lebih awal untuk membawa dia ke padang permainan. Hati saya begitu sedih.”

 

Walaupun Azhar kini sudah besar, ibu bapanya masih lagi cuba meluangkan masa dengannya. Kata Jefri, “Remaja adalah satu zaman yang sukar. Dia sedang melalui banyak perubahan dari segi fizikal dan emosi, dan dia mempunyai banyak soalan untuk ditanya.” Azhar menaruh kepercayaan kepada ibu bapanya dan sentiasa meminta pendapat mereka dalam perkara-perkara berkaitan pelajaran dan aktiviti-aktiviti lain.

 

“Kami berdua mempunyai hubungan rapat dengan anak kami. Saya percaya ini tidak mungkin berlaku jika kami berdua sibuk dengan kerja dan tidak mempunyai banyak masa untuk keluarga,” kata Sareena. Menurutnya, dia mempunyai ramai kawan yang terlalu sibuk dengan kerja mereka hinggakan mereka jarang berkomunikasi dengan anak-anak. “Inilah orang yang merungut jika anak mereka tidak meminta pendapat mereka dalam sesuatu perkara. Saya tidak menyalahkan anak-anak itu kerana ibu bapa mereka tiada apabila mereka memerlukan.”

 

Sareena dan Jefri bekerja di ruang makan rumah mereka yang dilengkapi dengan dua buah komputer, sebuah mesin faksimili, sebuah meja tulis dan sebuah kabinet fail. “Tempat ini agak sempit tetapi cukuplah untuk kami berdua bernafas,” kata Sareena sambil ketawa. Mereka keluar hanya apabila mereka ada temujanji atau apabila Jefri mempunyai acara untuk dikendalikan.

 

Sareena banyak membuat kerja pada waktu siang, tetapi Jefri lebih suka bekerja pada waktu malam kerana suasana yang sunyi. Jefri sering keluar pada hari bekerja untuk berjumpa dengan pelanggan dan terpaksa bekerja pada hari minggu jika dia mempunyai acara untuk dikendalikan. “Salah satu kelebihan bekerja dari rumah ialah kami mempunyai masa bekerja yang fleksibel. Kami dapat menyelesaikan tugas dan masih mempunyai masa untuk keluarga,” kata Jefri. 

 

Setiap minggu, Jefri akan meluangkan masa untuk membawa anaknya pergi berenang dan bermain skuasy. Dia menggunakan masa ini untuk merapatkan hubungan “bapa-dan-anak”. “Saya dan Sareena seronok keluar dengan anak kami dan saya dapat lihat bahawa Azhar bangga dengan kami,” katanya.

 

Mereka begitu prihatin terhadap pelajaran anak mereka, dan jika ada aktiviti dijalankan di sekolah, mereka pasti akan menghadirinya. “Saya tidak pasti samada kami dapat melakukan kesemua ini jika kami masih bekerja sepenuh masa,” kata Sareena.

 

Bagi pasangan ini, mereka sentiasa ingin bekerja dari rumah. Mereka pernah menerima tawaran gaji yang tinggi untuk bekerja sepenuh masa tetapi mereka menolak tawaran tersebut. “Saya tidak suka berada jauh dari rumah sepanjang hari,” kata Sareena.

 

tamat

 

 

 

 

 

 

 

 

 

  

 

 

 

 





E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2013. Semua hak terpelihara.