Saya telah bekerja dari rumah sejak 1987, tetapi jawatan saya adalah sebagai pekerja luar. Selama 13 tahun saya mendapat pendapatan mingguan yang selesa serta pekerjaan yang stabil dalam situasi ekonomi yang tidak menentu. Saya begitu selesa dengan keadaan ini, dan saya begitu takut pada perubahan yang mungkin berlaku.
Tetapi seperti kata orang, ‘Segala yang bermula pasti akan berakhir’. Apabila pihak pengurusan baru mengambil alih urusan syarikat, khidmat saya terpaksa ditamatkan. Walau bagaimanapun, saya tidak sesekali terfikir untuk mencari kerja “tetap” yang memerlukan saya bekerja 9-5 di luar rumah. Sekali anda telah bekerja dari rumah, agak berat bagi anda untuk kembali bekerja di pejabat.
Dengan itu, saya pun mula mencari kerja. Secara intensif saya mencari pekerjaan dari rumah untuk menggantikan kerjaya saya yang telah tamat. Saya melayari banyak laman web yang menjanjikan “Kami akan memberi anda pekerjaan yang menjanjikan pendapatan $40,000 setahun. Pengalaman tidak diperlukan!” Tetapi saya sedar orang yang akan kaya adalah mereka yang membuat janji-janji palsu ini. Saya bertanya diri sendiri, mengapa saya harus membayar untuk mendapatkan pekerjaan? Jika majikan itu “sah”, anda tentu tidak perlu membayar untuk mendapatkan pekerjaan. Saya dapat tahu bahawa telah ramai yang menjadi mangsa penipuan ini kerana mereka terlalu terdesak untuk mendapatkan pekerjaan dari rumah. “Tentu ada laman web yang menawarkan pekerjaan dari rumah tanpa perlu membayar wang,” fikir saya. Oleh itu…
Kalau saya tidak dapat mencarinya, mungkin saya boleh memulakannya! Saya akan mereka satu laman web di mana pengunjung boleh masuk dan mencari pautan berkaitan peluang-peluang perniagaan dari rumah. Pada masa yang sama, saya akan menerbitkan surat berita harian yang memaparkan senarai pekerjaan dari rumah, artikel-artikel mengenai perniagaan, panduan-panduan dan sebagainya.
Saya duduk dan menyenaraikan matlamat saya untuk tahun berikutnya:
1. Saya memerlukan satu pekerjaan yang membolehkan saya terus berada di rumah bersama 4 orang anak saya dan menjadi ibu serba boleh. Kerja tersebut perlu mempunyai jadual kerja yang fleksibel dan bersesuaian dengan jadual anak-anak saya.
2. Sepertimana perniagaan baru yang lain, saya tahu saya tidak akan mendapat keuntungan pada permulaan. Selepas 6 bulan, saya harap saya akan berada di kedudukan di mana surat berita saya akan dapat menyokong operasi perniagaan melalui iklan, tidak kira betapa kecil keuntungannya.
3. Saya menganggarkan pelanggan yang melanggan surat berita saya akan mencapai angka 1,000 orang pada akhir tahun.
4. Saya hanya akan memperuntukkan modal yang kecil sahaja untuk perbelanjaan permulaan.
5. Jika saya hilang minat dan mahu berehat sahaja, saya akan mempertimbangkan semula perniagaan ini.
Pada penghujung tahun, saya telah berjaya mencapai malah melebih matlamat sebenar yang saya tetapkan:
Saya boleh bekerja mengikut jadual keluarga. Saya bangun pada pukul 4 pagi, sebelum ahli keluarga yang lain bangun, untuk menjawab e-mel atau mencari tajuk-tajuk yang sesuai untuk dimuatkan dalam surat berita hari itu. Kemudian saya berehat untuk menghantar anak-anak ke sekolah, dan bekerja lagi selama 4-5 jam hingga anak-anak pulang ke rumah. Jika masa mengizinkan selepas makan malam, saya akan memeriksa e-mel saya, tetapi saya tidak akan cuba untuk mengambil masa yang telah diperuntukkan untuk keluarga. Pada masa ini, pintu pejabat saya telah tertutup dan masa bekerja saya telah tamat.
Dalam masa enam bulan, saya berjaya mendapat pengiklan berbayar. Kadar saya adalah rendah, tetapi surat berita saya cukup untuk menyokong perniagaan ini. Pendapat saya cukup untuk membayar ISP, web host dan perbelanjaan perniagaan yang lain. Setahun kemudian, jumlah mereka yang melanggan surat berita saya mencecah 2,700 orang setiap hari -- 2 1/2 lebih banyak dari angka yang saya jangkakan.
Saya hampir tidak mengeluarkan sesen pun sebagai modal permulaan. Saya tidak malu mengatakan saya memang kedekut. Laman web saya direka tanpa kos, sebagai pertukaran dengan iklan yang dimuatkan dalam surat berita saya. Ada banyak laman percuma dalam Internet di mana saya sering mengiklankan laman web dan surat berita saya. Bertukar-tukar iklan adalah cara yang popular dan berkesan untuk memberitahu orang ramai mengenai perniagaan atau produk anda. Saya adalah contoh yang terbaik bahawa anda tidak perlu mengeluarkan banyak wang untuk memulakan perniagaan.
Sehingga kini saya masih suka dengan apa yang saya lakukan. Saya telah mendapat ramai pembaca yang setia, di mana ramai di antara mereka kini menjadi rakan saya. Rakan-rakan Internet saya banyak memberi sokongan dan begitu instrumental dalam perkembangan perniagaan saya ini. Berapa ramaikah orang yang boleh berkata mereka seronok pergi kerja setiap hari? Lebih-lebih lagi seperti saya, “perjalanan” saya ke tempat kerja hanyalah 10 langkah sahaja.
Adakah saya telah berjaya? Tentu sekali! Gaji saya sekarang cuma separuh daripada gaji kerja saya dahulu tetapi saya berpuas hati kerana saya membuat sesuatu yang saya suka dan lebih penting lagi, saya dapat berada di rumah bersama dan untuk keluarga saya. Itulah erti kejayaan bagi saya!
Artikel ini disediakan oleh Family Content Archives