“Awak dah gila agaknya – melepaskan kerja yang bagus untuk bekerja dari rumah” adalah komen yang biasa saya dengar daripada rakan-rakan saya apabila mereka mendengar niat saya untuk bekerja dari rumah.
Perubahan dari menjawat jawatan kerajaan yang stabil selama 30 tahun dengan pendapatan yang tetap kepada kerja dari rumah boleh menjadi traumatik jika anda tidak mengubah pemikiran anda.
Saya menilai perkara ini dengan teliti. Pada zaman dahulu, bekerja dari rumah bukanlah perkara biasa seperti sekarang. Tambahan pula, pada masa itu jawatan kerajaan memang menjadi impian setiap kaum yang lemah seperti kita. Jika anda seorang pensyarah dan terutamanya jika anda mempunyai ijazah sarjana dalam Bahasa Inggeris dan Linguistik daripada Universiti Malaya, ia merupakan sesuatu yang membanggakan.
Lebih-lebih lagi kelulusan akademik saya diperolehi melalui kerja keras sebagai seorang ibu kepada dua orang anak lelaki yang sedang membesar dan kerja tetap sebagai pensyarah di samping bekerja sambilan sebagai tutor. Saya memegang pelbagai jawatan dan mengambil banyak tanggungjawab dan untuk melepaskan jawatan yang selamat itu bukanlah suatu yang mudah. Saya akan kehilangan banyak sumber kewangan.
Rakan-rakan, keluarga dan saudara-mara tidak memberi sokongan kerana mereka juga tidak bekerja dari rumah. Saya berseorangan di dalam perjalanan menempuh ombak baru ini.
Walaupun saya sudah nekad dan mahu bebas daripada rantai sekatan dan kawalan, saya harus berfikir dengan lebih dalam sebelum saya meletakkan jawatan. Walaupun begitu, apa yang mendorong saya ialah keinginan yang mendalam untuk bebas! Saya mahu mengawal hidup saya sendiri!
Keadaan menjadi lebih mudah apabila suatu hari selepas skil menaip saya semakin maju – hingga sekarang saya masih lagi menggunakan satu jari untuk menaip dan saya telah menaip 14 buah buku menggunakan cara yang lambat ini – saya menerima sepucuk surat daripada sebuah firma penerbitan yang terkenal. Daripada tulisan pada sampul surat itu saya dapat mengagak bahawa isi kandungannya adalah sesuatu yang baik. Saya segera mengoyakkan sampul dan membaca, “… kami berbesar hati untuk menawarkan anda menjadi salah seorang daripada penulis kami.”
Ini adalah surat tawaran saya yang pertama untuk menjadi penulis. Saya tidak pernah termimpi bahawa ia akan berlaku secepat itu. Saya tidak dapat bayangkan penglibatan saya kerana inilah tawaran yang pertama untuk saya menulis. Tetapi saya hendak menerimanya kerana saya sentiasa mahu bekerja dari rumah.
Apa yang saya perlukan sekarang adalah semangat dan kemahuan yang kuat untuk menerima tawaran ini. Saya baca surat itu sekali lagi dan mencatat tarikh temuduga. Berulang kali saya membaca isi kandungan surat itu. Di sini saya ditawarkan untuk menulis buku saya yang pertama! Betulkah apa yang saya baca ini? Saya terpaksa mencubit lengan saya untuk memastikan saya tidak bermimpi.
Saya kenal beberapa orang penulis yang menulis manuskrip dan pergi dari satu penerbit ke penerbit yang lain merayu agar buku mereka diterbitkan dan manuskrip mereka diterima, tetapi saya ditawarkan untuk menulis walaupun tanpa manuskrip untuk membuktikan bahawa saya boleh menulis.
Tiba-tiba saya mula terlihat semua aspek negatif bekerja di pejabat. Satu-satunya perkara yang baik mengenainya ialah ia memberi pendapatan yang tetap. Tetapi apabila saya menganalisa apa yang terlibat, saya sedar ianya berbaloi untuk saya mencuba bekerja dari rumah.
Rakan-rakan saya telah cuba melemahkan semangat saya dengan mengatakan bahawa saya akan kelihatan kusut masai jika saya singgah ke universiti tempat kami bekerja ataupun institusi lain. Rakan yang lain mengalihkan perhatian saya kepada kesuraman atmosfera di rumah. Ada juga yang cuba menghalang saya menerima tawaran itu dengan mengatakan bahawa saya harus lebih bermotivasi dan berdisiplin untuk berjaya.
Mereka juga memberikan contoh beberapa orang kawan dan saudara-mara yang telah putus asa dan dengan kesal kembali bekerja di pejabat. Mereka ini seakan-akan menikmati kesesakan lalulintas dan peraturan dan sekatan. Saya tidak begitu. Saya mahukan perubahan. Saya perlukan persekitaran yang berlainan setelah bekerja 30 tahun di insititusi pendidikan dan akademik.
Saya ingat lagi seorang rakan mengingatkan saya bahawa saya akan menjadi gemuk dan melupakan kehidupan sosial saya. Ada juga yang memberitahu bahawa saya tidak patut bekerja dari rumah kerana tempat kerja mestilah berlainan dari tempat tinggal. Walau bagaimanapun, lebih kerap mereka cuba melemahkan semangat saya, lebih kuat keinginan saya untuk bekerja dari rumah. Sudah tentu saya gembira di tempat kerja – semua orang tahu mengenainya kerana saya sentiasa riang setiap kali saya masuk ke kelas.
Malam itu, saya duduk dan meneliti satu persatu kebaikan dan keburukan bekerja dari rumah dan sebaliknya. Saya melihat lebih banyak perkara positif jika saya bekerja dari rumah. Saya tetap akan bekerja dari rumah, tetapi sebagai permulaan saya akan gabungkan kedua-duanya. Saya akan tetap bekerja dan menulis di rumah pada masa yang sama untuk merasa kedua-dua kehidupan ini.
Dengan itu, saya mula menulis dari rumah. Buku saya yang pertama ialah Remedial English Grammar and Usage, dan oleh kerana saya membuat dua pekerjaan – mengajar dan menulis – saya mahu menjadi realistik mengenai tanggungjawab saya. Oleh itu, saya menjemput seorang rakan dari Britain untuk bekerjasama kerana Bahasa Inggeris ialah bahasa ibundanya. Dalam kitab Bible juga ada menyebut, “Tanyalah dan kamu akan diberi; Ketuk dan pintu akan dibuka…” Dia bersetuju dan pihak penerbit juga menerima keputusan dan alasan saya bagi kerjasama ini. Saya mula melihat cahaya yang terang di penghujung terowong. Buku itu diterima dan diterbitkan oleh sebuah penerbitan tempatan pada tahun 1993. Saya dan Adrian Holden merupakan penulis buku tatabahasa yang pertama sepertinya di negara ini.