A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

BERKERJA DARI RUMAH: Pengurusan Perniagaan

Pencahayaan Yang Efektif, Efisien dan Menjimatkan


Peringatan: Keperluan pencahayaan rumah pejabat anda bergantung kepada keperluan kerja anda.

 

Pertimbangkan kenyataan ini: Tanpa cahaya, tiadalah warna, bentuk atau struktur dalam ruang di mana anda tinggal atau bekerja. Adakah anda setuju? Fikirkan, dan anda tentu setuju – pada waktu siang, kita boleh bergantung kepada cahaya matahari, tetapi pada waktu malam kita perlu bergantung kepada pencahayaan tiruan untuk membekalkan kita keperluan asas untuk kita melakukan aktiviti seharian. (Sebenarnya, sebagaimana yang diketahui oleh pekerja pejabat, pada waktu siang pun kebanyakan kita menggunakan pencahayaan tiruan untuk bekerja.) Dan pencahayaan – bentuk, warna dan kesannya, boleh mempengaruhi kita. Contoh yang paling ekstrim, dalam iklim sejuk, Seasonal Affective Disorder (SAD) iaitu satu penyakit yang diakibatkan oleh kemurungan boleh berlaku semasa musim sejuk. Penyebab penyakit ini ialah pertukaran bentuk cahaya matahari dari musim panas kepada musim sejuk. (Jangan bimbang, kita di Malaysia tidak mengalami musim sejuk!).

 

Kita semua bereaksi terhadap cahaya dan pencahayaan – cuba fikrikan kali terakhir anda berjalan dalam bilik yang suram cahayanya dan dipenuhi dengan bayang-bayang. Anda tentu berasa tidak selesa dan perasaan ini berhubung kait dengan reaksi kita terhadap kualiti cahaya di persekitaran kita. Memandangkan sekarang anda bekerja di rumah, jangan abaikan aspek yang penting ini. Tidak seperti kebanyakan pekerja pejabat, anda mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai tahap pencahayaan yang optimum yang anda perlukan. Anda perlukan pencahayaan yang efektif, efisien dan menjimatkan. Untuk memahami subjek ini dengan lebih lanjut, ada beberapa istilah teknikal yang anda perlu tahu, dan istilah-istilah ini akan diterangkan dalam artikel ini.

 

Berikut adalah senarai panduan untuk memastikan rumah pejabat anda mempunyai pencahayaan yang efektif, efisien dan menjimatkan:

 

1.      Penggunaan Rumah Pejabat

Aspek yang paling asas tetapi sering diabaikan dalam skim pencahayaan ialah definisi kegunaan rumah pejabat anda. Ini merupakan langkah anda yang pertama. Jawab soalan ini – apakah kegunaan rumah pejabat anda? Adalah mudah untuk menjawab “untuk membuat kerja”, tetapi cuba lihat dengan lebih mendalam. Jenis kerja yang bagaimana? Adakah anda menggunakan komputer, atau bergantung kepada kertas kerja sahaja? Adakah anda terpaksa merujuk kepada banyak bahan seperti buku-buku di rak buku, kad di dalam katalog kad dan sebagainya. Dapatkah anda melihat, capai dan membezakan di antara warna bahan-bahan dengan mudah, contohnya jika anda seorang pereka grafik, atau jika anda bekerja dengan fabrik? Adakah anda bekerja seorang atau dengan orang lain? Dapat anda bayangkan semua ini? Tuliskan kesemua kegunaan utama bagi ruang bekerja anda, dan tugas-tugas utama yang anda perlu jalankan seberapa terperinci yang boleh.

 

2.      Pencahayaan Persekitaran, Tugas dan Penekanan

Setelah anda menyenaraikan kesemua tugas yang perlu anda jalankan di rumah pejabat anda, anda bolehlah mula menimbangkan kategori asas pencahayaan yang diperlukan. Terdapat tiga kategori utama pencahayaan: pencahayaan persekitaran (ambient lighting), pencahayaan tugas (task lighting) dan pencahayaan penekanan (accent lighting). Apakah maksud istilah-istilah ini?

Pencahayaan persekitaran ialah pencahayaan umum yang tersebar ke seluruh ruang, dan ia pada amnya digunakan untuk menerangkan ruang.

Pencahayaan tugas ialah pencahayaan khusus dan fokus, dan digunakan untuk menghalakan cahaya ke arah sesuatu tugas tertentu.

Pencahayaan penekanan ialah pencahayaan tambahan yang digunakan untuk mengetengahkan atau mengetarakan sesuatu yang istimewa, biasanya elemen perhiasan kecil yang menghiasi sesuatu ruang.

Setelah memahami istilah-istilah tersebut, sekaranglah masanya untuk mengamalkan konsep-konsep itu kepada jenis tugas yang biasa anda jalankan di rumah pejabat anda. Pada prinsip asasnya, yang pertama sekali anda hendaklah menerangkan ruang dengan pencahayaan persekitaran. Sebenarnya, ini ialah bahagian yang paling mudah kerana di kebanyakan rumah di Malaysia, terdapat poin lampu yang terletak di tengah-tengah siling bilik. Bilik anda mungkin telahpun mempunyai pencahayaan persekitaran yang diperlukan – cuma periksa jika pencahaaan itu cukup bagi anda melihat bentuk dan isi kandungan bilik supaya anda boleh bergerak dengan selamat. Pencahayaan ini tidak semestinya cukup terang untuk anda membaca atau membuat kerja-kerja yang memerlukan ketelitian. Jika anda dapati anda boleh membaca dan menjahit di dalam bilik itu, anda mungkin mahu mengurangkan keterangan lampu itu selepas mempertimbangkan kategori-kategori pencahayaan yang lain.

Selepas anda merancang pencahayaan persekitaran anda, lihatlah di sekitar tempat di mana anda akan menjalankan kerja-kerja khusus. Contohnya, jika anda perlu membuat kertas kerja di atas meja, anda boleh meletakkan lampu meja di situ, di mana ia memberikan kelebihan tambahan kerana ianya fleksibel. Bergantung kepada kedudukan meja, anda juga boleh memasangkan lampu di dinding berdekatan dengan ruang anda bekerja. Akhir sekali, lihatlah jika anda perlu menambah pencahayaan penekanan. Jika sejalur cahaya yang dihalakan ke arah tempat yang strategik dapat menambah keceriaan dan menaikkan semangat bekerja di rumah pejabat anda, maka pasanglah. 

3.  Lumen, Lux Dan Nisbah Pencahayaan
Ia kedengaran seperti jenama sabun, tetapi sebenarnya ini adalah aspek-aspek penting dalam pencahayaan.

Lumen ialah istilah teknikal bagi unit pengaliran cahaya (luminaire) yang menunjukkan jumlah kecerahan lampu atau mentol.

Lux merujuk kepada jumlah lumen bagi satu meter persegi – ia adalah ukuran bagi berapa banyak cahaya yang mengenai sesuatu permukaan seperti meja ataupun skrin komputer anda. Oleh itu, ia bukan sahaja ditentukan oleh mentol, tetapi juga pengaliran cahaya itu sendiri – bagaimana cara pemasangannya membolehkan cahaya dipancarkan dari mentol dan tersebar keluar.

Nisbah pencahayaan ialah satu lagi istilah teknikal yang merujuk kepada perbezaan antara tugasan yang sedia ada dan persekitaran anda. Kesemua perkara di atas akan menentukan samada sesuatu skim pencahayaan itu sesuai dengan rumah pejabat anda ataupun tidak.

 

Untuk memberi gambaran yang lebih jelas, biar saya berikan satu contoh. Jika kerja anda melibatkan membaca cetakan kecil di atas beberapa permukaan yang berlainan, atau memerlukan anda membuat jahitan yang teliti, keperluan lux anda adalah lebih tinggi daripada seseorang yang membuat tugas rutin seperti menjawab telefon dan mengambil pesanan. Untuk mendapatkan lux yang lebih tinggi, anda boleh menggunakan mentol yang mempunyai watt yang tinggi, dan dengan itu menambah jumlah lumen (dan bil elektrik anda!). Pilihan yang lebih menjimatkan boleh jadi dengan menukar cara pemasangan lampu supaya lebih cahaya jatuh ke atas permukaan yang anda gunakan. Jika aliran cahaya anda sekarang mempunyai bayang-bayang yang besar dan gelap menutupi lampu, cuba tukarkannya kepada lampu yang lebih kecil, ringan dan berwarna. Dengan cara ini, nilai lumen adalah sama tetapi nilai lux yang anda perolehi adalah tinggi.

 

Kebanyakan kita bergantung penuh kepada visual. Anda tentu pernah masuk ke sebuah bilik pejabat dan menganggap keadaannya membosankan. Ini bukan sahaja disebabkan oleh perabut yang seragam dan susunannya yang tidak menarik, tetapi juga disebabkan oleh pencahayaan yang terlalu seragam. Apabila tiada kontras di antara buku yang anda baca dan rak buku di sudut bilik anda – contohnya apabila nisbah pencahayaannya hampir 1:1 – mata anda mudah letih dan anda cepat berasa bosan. Kita memerlukan kontras untuk kita sentiasa segar. Peraturan asas di sini biasanya ialah nisbah kecerahan pada 3:1 di antara skrin komputer (atau TV) dan persekitarannya yang gelap, dan 1:3 di antara komputer dan meja anda. Walau bagaimanapun, berhati-hati kerana kontras yang terlalu tinggi juga tidak baik. Jika anda mengambil masa yang terlalu lama untuk menyesuaikan mata dengan cahaya apabila anda mengangkat kepala dari tugas anda, ia akan memberi ketegangan kepada mata dan menyebabkan sakit kepala dan sebagainya.

 

Keseimbangan memang sukar dicapai, tetapi apabila anda memperolehinya, ia memberi kesan yang menakjubkan.

 

4.      Penyerlahan Warna 

Secara amnya, istilah ini bermaksud keupayaan untuk menyerlahkan warna sebenar sesuatu benda berbanding dengan cahaya matahari (atau cahaya pada waktu siang). Cahaya matahari sebenar mempunyai suhu warna 4,700 Kelvin. Jika anda bekerja sebagai ahli ilustrasi, pereka fesyen, atau sesiapa sahaja yang perlu bekerja dengan warna, anda perlu memberi perhatian yang lebih kepada aspek pengasingan warna. Perhatikan bagaimana penggunaan lampu GLS biasa (mentol pijar dan panas yang biasa digunakan di kebanyakan rumah lama) membuat segala-galanya kelihatan kekuningan. Warna seperti biru dan hijau tidak dapat dilihat dengan jelas di bawah cahaya ini.

 

Lampu kalimantang biasa, sebaliknya, membuat setiap orang kelihatan pucat, dan ia menghapuskan warna-warna hangat seperti merah dan kuning. Dalam kata lain, jenis pencahayaan ini tidak menyerlahkan warna dengan baik, atau mempunyai keupayaan mengasingkan cahaya yang rendah. Oleh itu, pencahayaan seperti ini tidak sesuai bagi mereka yang perlu membezakan pelbagai jenis warna dan bayang. Jika anda seorang “pekerja warna”, anda dinasihatkan supaya mencari sejenis mentol khas yang dikenali sebagai “cahaya matahari sebenar” atau “spektrum penuh”, yang mempunyai kapasiti seperti cahaya matahari untuk memperlihatkan warna sebenar tugasan anda. Anda boleh melayari laman web seperti Avitec www.avitec.com dan Threadsite www.threadsite.co.uk untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai mentol seperti ini.

 

5.      Capex Dan Opex 

Dalam seksyen ini kita akan mendalami konsep Capex (capital expenditure) atau perbelanjaan kapital dan Opex (operational expenditure) atau perbelanjaan operasi dalam konteks pencahayaan. Kita perlu melihat kepada perkara ini supaya kita boleh mempertimbangkan aspek-aspek seperti mengurusan tenaga dalam pemilihan pencahayaan.

 

Capex dan Opex perlu dipertimbangkan apabila membincangkan perbezaan antara lampu GLS seperti yang disebutkan tadi dan satu lagi jenis mentol yang dikenali sebagai lampu kalimantang padat. Lampu GLS sudah digunakan selama beberapa dekad, sedangkan lampu kalimantang padat masih lagi baru. Sebiji lampu GLS berharga kurang dari RM2, sedangkan lampu kalimantang padat berharga hampir RM20, sepuluh kali ganda bezanya. Anda mungkin berpendapat, berdasarkan kos yang pertama (Capex), bahawa ianya lebih menjimatkan jika anda membeli lampu GLS bagi rumah pejabat anda.

 

Tetapi betulkah? Anda juga harus sedar bahawa sebuah lampu GLS 60W memberikan jumlah pengaliran cahaya (lumen) yang sama dengan sebuah lampu kalimantang padat 11W. Ini bermakna pengurangan empat kali ganda dalam penggunaan tenaga jika anda menggunakan lampu kalimantang padat. Dan yang lebih menarik lagi, sebuah lampu GLS mempunyai jangkahayat selama 800 jam, sedangkan lampu kalimantang padat boleh berfungsi hingga hampir 8,000 jam. Oleh itu, lampu kalimantang padat tahan lebih kurang 10 kali lebih lama. Kedua-dua perkara di atas akan memberi kesan ke atas Opex (kos menyelenggaraan) sistem pencahayaan anda.

 

Oleh itu, apakah pilihan yang terbaik bagi anda? Apabila saya dan suami berpindah ke rumah baru, kami berhadapan dengan pilihan yang sama, dan apa yang kami lakukan ialah menukar kesemua lampu GLS kepada lampu kalimantang padat. Ya, kesemuanya sekali. Dan bil elektrik kami turun dengan mendadak, kerana daripada jumlah pemasangan sebanyak lebih kurang 1,800W, kami telah menurunkannya kepada 150W sahaja. Bagi lampu di tepi katil kami, kami tukarkan dari lampu 60W kepada 4W. Bayangkan kesannya terhadap perbelanjaan kami! Oleh itu anda perlu faham bahawa aspek Capex dan Opex harus diambil kira supaya anda tidak tergesa-gesa membuat pilihan yang pada awalnya kelihatan lebih menjimatkan. Apa yang lebih menarik lagi, jenis lampu kalimantang padat berskru atau “screw-on” (E27) boleh terus digunakan untuk menggantikan lampu GLS. Contohnya, anda boleh menggunakan lampu kalimantang padat 20W E27 untuk menggantikan lampu GLS 75W tanpa perlu membuat pengubahsuaian.

 

Jika anda mahu mendapatkan lebih lagi idea mengenai bagaimana anda boleh berjimat dalam perkara ini, layarilah laman web seperti  www.gelighting.com yang membolehkan anda membuat pengiraan terus dalam talian untuk membuat perbandingan seperti di atas. Kos dalam Ringgit Malaysia juga disediakan.

 

Opex juga dipengaruhi oleh faktor-faktor teknikal lain seperti jenis pelepas, kesuraman dan sistem pengawalan yang digunakan dan sebagainya. Bagi maklumat lanjut, layarilah laman web seperti www.pegasusassociates.com.

 

6.      Kedudukan Arah Pencahayaan 

Bagi pencahayaan yang efektif, anda juga harus menentukan kedudukan pemasangan lampu yang optimum. Di sini, faktor-faktor seperti silau dan bayang-bayang harus dipertimbangkan. Contohnya, jika anda menggunakan komputer riba, adalah penting bagi anda memasang lampu pada sudut di mana tiada imej lampu yang kelihatan di skrin anda. Begitu juga dengan komputer meja biasa, arahkan aliran cahaya supaya tiada silau. Pada kedudukan di mana anda duduk, pemandangan terus anda seharusnya tidak mempunyai tompok cerah atau silau. Silau akan mengganggu dan boleh menyebabkan migrain. Satu lagi perkara yang perlu dipertimbangkan ialah bayang-bayang. Sepatutnya tiada bayang-bayang atau kawasan gelap di atas permukaan kerja anda terutamanya bagi kerja yang berdasarkan kertas. Bayang-bayang boleh menyebabkan ketegangan pada mata dan menyebabkan anda cepat letih, dengan itu mengganggu keselesaan dan kecekapan anda bekerja.

 

7.      Cahaya Siang 

Panduan terakhir dari saya ialah cahaya pada waktu siang. Memandangkan anda bekerja dari rumah, cubalah bekerja pada waktu siang sekerap mana yang boleh. Walaupun cahaya siang yang anda dapat di bilik anda tidak mencukupi bagi keperluan pencahayaan anda, gunakanlah ia sebagai pencahayaan persekitaran. Tambahkannya dengan pencahayaan tugasan dan pencahayaan penekanan tiruan. Dalam setiap perkara, manusia biasanya berasa lebih sihat dari segi fizikal, emosi dan psikologi jika mendapat pendedahan kepada persekitaran semulajadi, termasuklah cahaya.

 

Kesemua panduan di atas telah diterangkan kepada anda supaya anda dapat memperolehi rumah pejabat yang efektif dan efisien dan pada masa yang sama dapat berjimat. Cubalah, sebanyak mana yang mungkin, dan nikmati persekitaran rumah pejabat yang lebih baik!





E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2014. Semua hak terpelihara.