Lihatlah di sekeliling anda, samada di bandar besar atau pekan kecil, pusat penjagaan kanak-kanak dan pra sekolah dari pelbagai dimensi, bentuk, saiz dan warna tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Dan kebanyakannya mempunyai nama yang canggih dan elit untuk cuba menggambarkan pendidikan berkualiti tinggi dan cara pembelajaran yang tiada tandingannya!
Adakah anak-anak kita bertuah atau adakah mereka disiksa pada umur yang sebegini muda untuk menghadapi apa yang dipanggil gudang ilmu dan perkembangan IQ? Dan percayalah bahawa yurannya terlalu tinggi! Di ibu negara, yuran untuk menghantar seorang anak ke pusat penjagaan boleh mencecah RM400 sebulan hanya untuk tiga jam sehari – lebih tinggi dari pengajian seorang pelajar universiti. “Dan jangan lupa jemput anak awak tepat pada masanya,” terngiang-ngiang suara gurunya ketika saya berjalan masuk ke sekolah untuk menghantar anak jiiran saya ke sekolah.
Setiap hari pada pukul enam pagi, saya melihat dengan sedihnya bagaimana jiran saya menjerit pada anaknya yang berumur tiga tahun untuk bangun dan bergegas memakai uniform sekolahnya yang kemas dan licin berseterika. Hanya sempat meminum segelas air, dia kemudiannya menaiki van yang datang menjemputnya pergi dan balik dari sekolah yang terletak sebatu dari rumah. Adalah sedih menyaksikan gambaran seorang anak yang masih separa tidur, memegang kuat bahu pembantu rumah semasa dia dimandikan dan dipakaikan baju.
Saya berasa marah melihat kanak-kanak ini menjadi mangsa sikap materialistik orang-orang dewasa pada hari ini, sedangkan kebajikan mereka kurang diberi perhatian. Pada usia yang sangat muda, kanak-kanak ini sudahpun menerima pendidikan formal, di mana hidupnya bergantung dan dikawal oleh jadual waktu dan bunyi loceng!
Berapa tahun dia harus berada di pra sekolah? Adakah dia akan berasa bosan dan tidak selesa apabila dia menjejak Darjah Satu? Adakah ini adil?
Kanak-kanak sebenarnya memerlukan persekitaran rumah selama mana mungkin. Ada sesuatu mengenainya yang membuatkan kanak-kanak berasa selamat dan selesa berada di rumah. Kanak-kanak mempunyai hak untuk berada di rumah! Adalah tidak adil untuk memisahkannya daripada persekitaran itu pada awal pagi, seringkali sebelum dia bangun tidur lagi. Pada usia semuda ini, dia harus menikmati tidur yang cukup dan bangun ketika matahari memancar cerah dan menerima ciuman mesra dari ibu bapa atau adik-beradik yang penyayang. Kini, zaman di mana kanak-kanak menikmati kehidupan di rumah hingga usianya lima atau enam tahun telah terhapus. Adakah kita sedang melalui suatu era di mana kita tidak boleh menjalankan tanggungjawab kita lagi? Kita mempunyai wang, pemandu dan pembantu rumah untuk membuat kerja kita!
Jika anda tanya saya, apakah umur yang terbaik untuk memasuki pra sekolah, jawapan saya ialah lima tahun. Selama lima tahun, kanak-kanak akan menikmati kemesraan keluarga yang sangat diperlukan untuk kehidupan masa depannya. Dia tidak seharusnya dipaksa-paksa. Dia boleh mengambil masa untuk mandi dan bermalas-malasan pada waktu pagi jika dia mahu. Jika dia terpaksa ke sekolah, saat-saat sebegini tidak akan dirasainya lagi.
Pada pendapat saya, soal mengapa kanak-kanak hari ini mempunyai tulisan yang buruk boleh dikaitkan dengan usia semasa mereka dipaksa menulis. Pembesaran jari-jari mereka masih belum sempurna dan otot-otot di sekeliling jari-jari mereka masih belum kuat untuk memegang pensel dengan betul. Tidak hairanlah lebih ramai kanak-kanak hari ini mempunyai tulisan yang buruk. Mengapakah kita begitu menekankan mereka menulis pada usia sebegitu muda? Tidakkah kemahiran bercakap dan mendengar juga penting? Tidakkah guru-guru di pra sekolah tahu bahawa kanak-kanak mesti belajar menuturkan sesuatu perkataan itu dengan betul sebelum dia belajar menulis perkataan itu? Mengapakah anak-anak kecil kita mempunyai terlalu banyak buku latihan yang terpaksa disiapkan dalam beberapa bulan dan dihantar kepada ibu bapa untuk ditandatangani? Betapa tersiksanya mereka!
Kita terpaksa menghabiskan banyak masa untuk memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan oleh guru-guru yang kadangkala tidak bertauliah, dan tidak tahu apa yang diperlukan sebagai persiapan untuk kanak-kanak membaca dan menulis. Tetapi bagaimana kita boleh memperbaikinya, sedangkan tiada siapa yang memikirkan apa kesilapan yang telah dilakukan oleh mereka yang terdahulu?
Saya kenal seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang terpaksa mengikuti kelas bahasa ibundanya dan guru persendiriannya memaksa dia menulis huruf-huruf dalam abjad bahasa ini. Kemajuannya dalam kemahiran bertutur bahasa ini tidak begitu baik, walaupun dia mengikuti kelas selama beberapa jam seminggu. Sekali lagi, kita terlalu sibuk mencari wang hinggakan kita lupa untuk bercakap dengan anak-anak kita dalam bahasa ibunda sendiri. Anak siapa sebenarnya mereka?
Tidakkah anda sedar atau prihatin bahawa hanya guru-guru yang terbaik yang sepatutnya menyeliakan pra sekolah dan pusat penjagaan anak? Siapkah guru yang terbaik? Seorang pembantu rumah? Dua orang? Guru persendirian? Ataupun ibu bapa?