Aku Terima Sejambak Bunga Hari Ini ...
Aku terima sejambak bunga hari ini.
Bukan hari lahirku, pun bukan hari istimewa seumpama.
Semalam kami bertengkar buat pertama kali,
zalim sungguh kata-katanya, terluka hati dibuatnya.
Aku tahu dia kesal dan tidak maksudkan apa yang dikata.
Kerana dia mengirim sejambak bunga hari ini.
Aku terima sejambak bunga hari ini.
Bukan ulang tahun perkahwinan kami, pun bukan hari istimewa seumpama.
Semalam, dia membanting aku ke dinding dan mula mencekik leherku.
Terasa bagaikan mimpi ngeri.
Apa benar-benarkah itu terjadi?
Aku bangun pagi ini dengan badan sakit dan lebam keseluruhannya.
Tentu dia rasa kesal, kerana dia mengirim sejambak bunga hari ini.
Aku terima sejambak bunga hari ini.
Bukan Hari Ibu, pun bukan hari istimewa seumpama.
Semalam, dia memukul aku lagi.
Sakitnya tak terperi, lebih daripada yang aku terima dulu.
Jika aku meninggalkannya, apa yang akan aku lakukan?
Bagaimana akan aku jaga anak-anakku?
Bagaimana pula wang belanja?
Aku gerun pada dirinya, namun takut juga meninggalkannya.
Tetapi, aku tahu dia pasti kesal, kerana dia mengirim sejambak bunga hari ini.
Aku terima sejambak bunga hari ini.
Hari ini sungguh istimewa.
Hari persemadian jasadku.
Semalam, akhirnya dia membunuh aku.
Sehingga mati aku dikerjakannya.
Kalaulah aku mampu cekalkan tekad dan nekad meninggalkannya, pasti tidak aku terima jambangan bunga hari ini.
(Nama pengarang dirahsiakan.)