A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

INSPIRASI: Petikan Kata

Madah Pujangga sebagai Penawar


 

Pengenalan
Mom4mom’ telah menyusun beberapa petikan kata-kata bijaksana bagi wanita-wanita yang mungkin sedang mengharungi masa yang sukar dalam hidup.  Jika anda sedang menempuh peringkat seperti, “mengapa saya”, “tak adil”, “bagaimana orang yang berlaku salah sentiasa terlepas begitu sahaja”, “bagaimana akan aku melalui semua ini”, kami harap anda akan menemui sedikit ketenangan daripada nasihat dan madah berikut.  Kadangkala, pengalaman pahit dalam hidup membantu kita menjadi seorang yang lebih sempurna.  Kadangkala pula, kita menjadi seorang terselamat yang mengorak langkah menuju hari-hari esok yang lebih cerah dengan yakin dan berani, selalunya tanpa sebarang bantuan.  Tegakkan kepala dan teruslah berjuang!

1.   Tidak salah untuk berasa marah dan kecewa.  Tetapi jangan biarkan perasaan negatif ini menguasai hidup anda.  Salurkan tenaga anda kepada perasaan dan tindakan yang lebih positif.  Ceburkan diri anda dalam sesuatu hobi – ia tidak semestinya sesuatu yang mahal.  Jika anda gemar menulis, mulalah menulis mengenai perasaan anda.  Baringlah di atas katil dan kelilingi diri anda dengan ketenangan dan kesunyian; gambarkan diri anda berada berhampiran air terjun atau pantai yang tenang, sambil bergelak ketawa menikmati kehidupan.  Dengarlah muzik – ia boleh menjadi penawar yang begitu mujarab.  Mula melakukan senaman aerobik / berjoging – anda akan terasa cergas kembali.  Tetapi LAKUKAN sesuatu untuk mengubah fikiran negatif itu.

Madah:          Fikiran positif (keseronokan, kegembiraan, kepuasan, pencapaian, jati diri) membawa kepada kesan positif (semangat, ketenangan, kesejahteraan, ketenteraman jiwa, tenaga, kasih sayang).  Fikiran negatif (penilaian diri, rendah diri, kecurigaan, kebencian, ketakutan) menghasilkan kesan negatif (ketegangan perasaan, kebimbangan, pengasingan, kemarahan, keletihan).

Pengarang:    Peter McWilliams

Sumber:         You Can't Afford the Luxury of a Negative Thought by Peter McWilliams

                      [Anda Tidak Mampu akan Kemewahan Fikiran Negatif oleh Peter McWilliams]

Madah:          Manusia terlalu banyak berbincang mengenai sudut negatif, mengenai perkara yang tidak kena.  Mengapa tidak cuba melihat dari sudut pandangan positif, menyentuh perkara tersebut dan mengembangkannya?

Pengarang:   Thich Nhat Hanh

Sumber:        Tidak diketahui

2.   Beringatlah, anda berupaya menukar destinasi perjalanan hidup anda.  Ia terpulang kepada anda dan anda seorang sahaja yang boleh membuang debu di lutut lalu bangkit.  Selepas itu, anda sama ada boleh duduk bermurung diri ataupun meneruskan hidup.  Rakan-rakan dan pengirim ucap selamat mungkin berada di sisi anda tetapi, akhirnya, semuanya di dalam tangan anda.

 

Madah:          Berlian anda bukannya terletak di pergunungan terpencil atau nun jauh di tengah lautan; anda akan menjumpainya di perkarangan rumah anda sendiri, kalaulah anda menggali untuk mendapatkannya.

Pengarang:      Russell H. Comwell

Sumber:          Simple Abundance: A Daybook of Comfort and Joy by Sarah Ban Breathnach

[Kelebihan Ringkas: Buku Harian mengenai Keselesaan dan Kegembiraan oleh Sarah Ban Breathnach]

 

3.   Yang penting sekali, jangan berputus harapan.  Walaupun langit kelihatan mendung, carilah pelangi dan lapisan perak.  Apabila anda putus asa, anda berhenti berjuang untuk mutu hidup yang anda inginkan.  Pada penghujung hari, anda akan memberitahu diri sendiri, “Aku seorang yang terselamat” (dengarlah lagu nyanyian Destiny’s Child).

 

Madah:           Selalulah menaruh harapan.  Apabila amalan menaruh harapan menjadi suatu tabiat, anda boleh mencapai kegembiraan jiwa yang berkekalan.

Pengarang:        Norman Vincent Peale

Sumber:            Positive Thinking Everyday by Norman Vincent Peale

                        [Pemikiran Positif Setiap Hari oleh Norman Vincent Peale]

 

Madah:            Anggaplah yang harapan akan kembali cerah.  Anggaplah yang doa anda akan terkabul dalam cara yang menakjubkan.  Kemarau hidup tidak berkekalan.  Hujan musim bunga akan kembali.

Pengarang:        Sarah Ban Breathnach

Sumber:            Simple Abundance: A Daybook of Comfort and Joy by Sarah Ban Breathnach

[Kelebihan Ringkas: Buku Harian mengenai Keselesaan dan Kegembiraan oleh Sarah Ban Breathnach]

 

4. Mungkin elok untuk menyertai kumpulan berdoa atau kumpulan bertafakur bagi memperoleh ketenangan jiwa.  Anda juga mungkin menemui kumpulan sokongan yang terdiri daripada mereka yang mengalami masalah yang serupa dengan anda.  Anda akan dapati diri anda meluahkan pengalaman anda dan lama-kelamaan, pada penghujung hari, anda mungkin menyedari bahawa ada orang lain yang berada di dalam situasi yang sama atau yang lebih teruk daripada anda.  Kesedaran sedemikian penting untuk meneruskan perjalanan.

 

Madah:            Perkembangan jiwa adalah matlamat kita, dan terdapat berbagai cara untuk mendorong perkembangan itu, seperti melalui kasih sayang, alam semula jadi, penyembuhan luka sendiri, pemaafan dan khidmat bakti.  Jiwa berkembang baik apabila seseorang itu memberi dan menerima kasih sayang.  Saya menyuburkan jiwa saya setiap hari dengan mengasihi orang lain dan bersikap peka terhadap kasih sayang mereka.  Sesungguhnya, kasih sayang adalah satu kata kerja, perkataan tindakan, bukannya kata nama.

Pengarang:        Joan Borysenko, Ph.D.

Sumber:            Ensouling Ourselves by Joan Borysenko, Ph.D., Handbook for the Soul edited by Benjamin Shield

                        [Memperjiwai Diri Kita oleh Joan Borysenko, Ph.D., Buku Panduan untuk Jiwa disunting oleh Benjamin Shield]

 

5.   Tumpukan sedikit masa anda ke arah sesuatu usaha murni.  Lakukan kerja sukarela, sertai sebuah organisasi yang berjuang demi kebaikan umat manusia.  Anda akan terasa seperti diberi kuasa dalam cara yang begitu istimewa.

 

Madah:            Ketawa dengan selalu dan mengasihi dengan mendalam; dihormati oleh golongan bijaksana dan dikasihi oleh kanak-kanak; memperoleh persetujuan daripada pengkritik yang ikhlas; menghargai keindahan; mengorbankan diri sendiri; meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang lebih baik, sama ada kerana seorang kanak-kanak sihat, sebuah taman atau keadaan sosial yang telah pulih; bermain dan ketawa dengan penuh semangat dan menyanyi dengan penuh kegirangan; mengetahui yang seorang dapat hidup dengan lebih senang kerana anda – itulah tanda kejayaan.

Pengarang:        Ralph Waldo Emerson

Sumber:            The Book of Positive Quotations

[Buku Petikan Kata-kata Positif]

 

6.       Akhir sekali, bukankah ini sungguh benar?

 

Madah:            … kita terlalu kerap melihat kalendar harian sebagai hanya satu lambang perjalanan masa.  Kita lupa bahawa ada sebab bagi segala kesakitan dan segala perjuangan.  Kita lupa yang kita diletakkan di dunia ini untuk mempelajari sesuatu.  Jika semuanya dalam hidup ini sempurna, kita tidak akan belajar sesuatu yang baru.  Kita tidak akan terdaya untuk membangkitkan semangat kita melalui peristiwa hidup kita.

Pengarang:        Lynn V. Andrews

Sumber:            Walk in Balance: Meditations with Lynn Andrews by Lynn V. Andrews

[Berjalan dalam Keseimbangan: Bertafakur bersama Lynn Andrews oleh Lynn V. Andrews]

 

Madah:            Kadangkala luka itu merupakan tempat di mana kita berhadapan dengan kehidupan buat pertama kali, di mana kita mula mengenali kuasanya dan selok-beloknya.  Apabila terluka, kita mungkin menemui kebijaksanaan yang akan membolehkan kita hidup dengan lebih baik berbanding mana-mana pengetahuan dan mengimbas gambaran diri dan kehidupan yang nyata mahupun yang tidak terduga. 

Pengarang:        Rachel Naomi Remen

Sumber:            My Grandfather's Blessings: Stories of Strength, Refuge and Belonging

                        [Rahmat Datukku: Cerita mengenai Kekuatan, Perlindungan dan Perasaan Dipunyai]

 

BEBERAPA LAGI KATA-KATA BIJAKSANA

 

Madah:          Keraguan paling kerap menjadi sumber kurang keupayaan kita.  Meragui bererti tidak yakin, tanpa harapan atau kepercayaan.  Apabila kita ragu, perbualan diri kita berbunyi seperti ini: “Saya tak jangka yang saya boleh.  Saya tak fikir yang saya akan”.  Meragui adalah perasaan yakin terhadap berlakunya akibat yang terburuk mungkin.  Ia bererti mempercayai akan kekejian dunia, bahawa walaupun saya melakukan sesuatu dengan baik, sesuatu yang tidak saya duga akan menjadi penghalang, mensabotaj saya, atau menewaskan saya akhirnya.

Pengarang:      Blaine Lee

Sumber:          The Power Principle: Influence with Honor by Blaine Lee

                       [Prinsip Kuasa: Mempengaruhi dengan Kehormatan oleh Blaine Lee]

 

Madah:            Sambutlah semua orang yang anda temui dengan senyuman mesra.  Biarpun betapa sibuk diri anda, jangan bergegas apabila bertemu dengan rakan-rakan sekerja, keluarga dan kawan-kawan.  Bercakaplah dengan perlahan.  Dengar dengan penuh perhatian.  Aturlah laku seolah-olah setiap perbualan anda adalah perkara terpenting bagi anda hari ini.  Pandang anak dan pasangan anda tepat pada mata apabila mereka bercakap dengan anda.  Usaplah kucing dan belailah anjing.  Limpahkan kasih sayang ke atas setiap benda hidup yang anda temui.  Lihatlah bagaimana lainnya perasaan anda pada penghujung hari.

Pengarang:        Sarah Ban Breathnach

Sumber:            Simple Abundance: A Daybook of Comfort and Joy by Sarah Ban Breathnach

[Kelebihan Ringkas: Buku Harian mengenai Keselesaan dan Kegembiraan oleh Sarah Ban Breathnach]

 

Madah:            Cukup mudah untuk bersikap riang, apabila kehidupan bergerak lancar seperti sebuah lagu.  Tetapi seorang yang mulia itu adalah orang yang akan tersenyum apabila semuanya tidak menjadi.

Pengarang:        Ella Wheeler Cox

Sumber:            Treasury of Women's Quotations compiled and edited by Caroline Warner

[Khazanah Madah Wanita, disusun dan disunting oleh Caroline Warner]

 

Madah:            Tiada perbezaan sama ada apa yang anda hadapi adalah sesuatu yang mempengaruhi kerja anda, hubungan peribadi anda, perasaan selamat pada diri anda, penilaian jati diri anda, atau penampilan anda – cara anda berfikir mengenai keadaan anda itulah yang menjadi penentu utama sama ada anda akan melakukan sesuatu mengenainya dan apa yang akan anda lakukan.

Pengarang:        Dr. Arthur Freeman dan Rose DeWolf

Sumber:            The 10 Dumbest Mistakes Smart People Make and How to Avoid Them: Simple and Sure Techniques for Gaining Greater Control of Your Life by Arthur Freeman.

                        [10 Kesilapan Terbodoh Yang Dilakukan oleh Mereka Yang Pintar dan Cara Untuk Mengelakkannya: Teknik Yang Senang Lagi Berhasil Untuk Mengawal Hidup Anda Dengan Lebih Baik oleh Arthur Freeman]

 

Madah:            Di dalam diri setiap daripada kita tersimpan tenaga yang terpendam.  Tenaga yang boleh kita bebaskan untuk bertanding dalam perlumbaan hidup.  Di dalam diri setiap daripada kita tersimpan keberanian yang terpendam.  Keberanian yang memberi kita kekuatan untuk menghadapi sebarang cabaran.  Di dalam diri setiap daripada kita tersimpan keazaman yang terpendam.  Keazaman untuk kekal dalam perlumbaan meskipun segalanya kelihatan buntu.

Pengarang:        Roger Dawson

Sumber:            The 13 Secrets of Power Performance by Roger Dawson

                        [13 Rahsia Prestasi Berkuasa oleh Roger Dawson]

 

Madah:            Apabila saya berdiri menghadap Tuhan pada akhir hayat saya, saya berharap agar saya tidak mempunyai saki-baki bakat yang tinggal dan saya dapat berkata, “Aku telah menggunakan segala yang Engkau berikan kepadaku”.

Pengarang:        Erma Bombeck

Sumber:            Treasury of Women's Quotations compiled and edited by Caroline Warner

[Khazanah Madah Wanita, disusun dan disunting oleh Caroline Warner]

 

Madah:            Apabila Syurga hendak menganugerahkan tanggungjawab yang berat ke atas seorang insan, pertama sekali, ia akan menguji kekuatan mindanya dengan mengenakan penderitaan, membebankan otot dan tulangnya dengan tugas-tugas yang menjerihkan, membiarkannya kelaparan, menghalangnya daripada memiliki sebarang harta benda, dan menghancurkan segala yang dibinanya.  Dengan cara ini, Syurga merangsang mindanya, mengawal kemarahannya dan memperbaiki kelemahannya.

Pengarang:        Mencius

Sumber:            Book VI of 'Mencius' Thoughts': Gao Zi Part 2

                        [Buku VI daripada ‘Pendapat Mencius’:  Gao Zi Bahagian 2]

 





E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2014. Semua hak terpelihara.