A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

ALAM SEKITAR: Rencana Khas

Baja Kompos Secara Ringkasnya


Kesegaran bau hutan sebenarnya ialah bau humus atau tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang telah reput. Baja kompos ialah bahan organik yang telah reput. Membuat baja kompos daripada bahan buangan organik bukan sahaja dapat mengurangkan sampah, malah ia dapat menyuburkan tanah di taman atau halaman rumah anda.

 

Baja kompos terhasil apabila bahan organik mereput dan pecah kepada bahan yang kaya dengan nutrien yang dipanggil “humus” melalui haba dan respirasi yang dilakukan oleh organisma dalam tanah (cacing, semut, bakteria dan kulat). Apa-apa sahaja bahan organik, contohnya daun dan sisa makanan boleh menjadi baja kompos. Pembuatan baja kompos dapat membantu menyelesaikan banyak masalah alam sekitar jika dilakukan dalam sesebuah komuniti dan disertai oleh ramai individu. Hampir 40 peratus daripada sampah sarap di rumah kita setiap hari terdiri daripada sayur-sayuran dan sisa dapur yang lain. Cara yang biasa dilakukan untuk menghapuskan sampah ini ialah dengan melonggokkan bahan yang berguna ini di tempat pembuangan sampah. Pembuatan baja kompos menggunakan bahan organik ini dengan mengitar semula sampah kepada humus yang kaya dengan nutrien.

 

Humus ialah baja tanah natural yang sangat baik. Dengan mencampurkannya dengan tanah, humus boleh membantu pokok membesar dengan lebih sihat dan lebih cantik TANPA bahan kimia! Petani tradisional dan pemilik ladang moden di Malaysia tahu menghargai kebaikan baja kompos untuk mengkayakan tanah dan mengurangkan bahan buangan. Humus juga boleh membantu membaikpulih tanah di kawasan-kawasan seperti bekas kuari.

 

Hampir apa sahaja bahan organik boleh dijadikan baja kompos. Bahan-bahan yang boleh dijadikan baja kompos termasuklah bahan yang kaya dengan nitrogen dan karbon, rumput, sayur-sayuran, kulit buah-buahan, daun kering, topi mengkuang, kulit telur, beg kertas, kertas atau karbod, daun teh, serpihan kayu, tulang-tulang kecil, serbuk kopi, serbuk papan, najis haiwan (lembu, ayam, kuda, arnab), sisa meja makan (nasi, roti) dan sebagainya.

 

Alam semulajadi memproses baja kompos setiap masa – apabila daun gugur ke tanah, apabila haiwan membuang najis mereka, dan apabila semua makhluk mati. Alam mempunyai komuniti khas yang membantu memecahkan bahan-bahan ini dan menukarnya kepada nutrien yang berguna kepada semua tumbuh-tumbuhan. Komuniti ini dikenali sebagai komuniti detritus, dan ia termasuklah bakteria, kulat dan cacing. Proses penghasilan baja kompos hanya memerlukan beberapa elemen asas: bahan organik, organisma tanah, air, oksigen dan haba. Sisa organik seperti daun, sayur-sayuran dan kulit buah-buahan, daun teh, serbuk kopi dan kertas tisu semuanya boleh dijadikan baja kompos.

                   

Rumput yang telah dipotong adalah bahan terbaik untuk dibuat baja kompos dan ia juga mereput dengan cepat. Sisa organik lain seperti kulit telur, kulit manggis dan bahan organik keras yang lain akan mengambil masa yang lebih untuk mereput.

 

Organisma tanah juga penting dalam pembuatan baja. Kebanyakan komuniti akan “muncul” perlahan-lahan apabila anda mula melonggokkan bahan ini di tanah. 

 

Membina Longgokan Baja Kompos

Campurkan daun reput dan tanah dari hutan atau dari belakang rumah anda. Organisma tanah telahpun berada dalam bahan ini dan akan membina komuniti baru dalam longgokan baja anda.

 

Kadar kelembapan yang betul juga penting untuk menghasilkan baja yang sihat. Mikroorganisma memerlukan persekitaran yang lembap untuk penghantaran nutrien. Jika timbunan itu terlalu kering, proses penghasilan baja berjalan perlahan. Jika timbunan itu terlalu lembap, tanah akan menjadi berat dan oksigen akan tertekan keluar, menyebabkan longgokan itu mereput dan berbau busuk. Longgokan harus dibiarkan lembap tetapi tidak basah, seperti span yang telah diperah. Cuba gunakan air hujan sebanyak mungkin untuk mengekalkan kelembapan longgokan.

 

Perlu juga diingat bahawa organisma tanah dan bakteria memerlukan oksigen untuk hidup. Tanpa bekalan oksigen yang berterusan, organisma yang penting ini akan mati dan akan digantikan dengan organisma yang anda tidak perlukan. Jika ini berlaku, longgokan baja anda akan mula berbau busuk. Untuk mengelakkan ini berlaku, longgokan baja mestilah dibalik-balikkan sekali dalam tiga minggu untuk membawa bahan yang di bawah ke atas dan sebaliknya.

 

Satu longgokan baja kompos mempunyai “suhu optima” di mana proses pereputan berlaku paling cepat. Walau bagaimanapun, hawa di kawasan tropika sudah cukup sesuai untuk penghasilan baja dan kita tidak perlu bimbang tentang perkara ini.

 

Menghasilkan longgokan baja kompos adalah perkara mudah. Sebuah rumah yang mempunyai ruang kebun yang luas memerlukan kawasan seluas kira-kira 1.21 meter hingga 1.524 meter panjang kali 1.22 meter lebar dan kira-kira 0.9144 meter tinggi. Anda boleh gunakan kayu dan dawai untuk membuat tong baja. Longgokkan baja ini sehingga separuh daripada tong, dan apabila anda membalik-balikkan longgokan, balikkannya ke setengah bahagian tong yang satu lagi. Dengan cara ini anda boleh mencampurkan bahan-bahan longgokan dan mengeluarkan baja yang telah siap dengan mudah.

 

Bagi kebun yang lebih kecil, anda boleh gunakan bekas air atau tong sampah buruk dengan membuat lubang pada tepi dan bawah bekas. Buatkan satu pintu yang terbuka di bawah bekas atau buangkan terus bahagian bawah tong. Dengan cara ini anda boleh mengeluarkan humus semasa menambah bahan buangan baru di bahagian atas, membolehkan proses penghasilan baja berjalan secara berterusan.

 

Lebih baik jika anda memotong sayuran yang besar dan kertas suratkhabar kepada cebisan-cebisan kecil untuk mempercepatkan pereputan. Elakkan dari menambah banyak buah-buahan sitrus kerana bahan ini boleh membuatkan humus terlalu berasid dan ia mungkin akan merosakkan pokok-pokok.

 

Juga elakkan dari menambah rumput menjalar dan biji benih yang mungkin tahan reput. Jangan tambah najis kucing atau anjing pada longgokan baja. Najis kucing mengandungi bakteria perosak yang tahan reput. Daging, tulang dan sisa makanan berlemak harus dielakkan. Bahan-bahan ini sering menarik perhatian haiwan perosak seperti tikus. Tambahan pula, makanan berlemak lambat reput kerana lemak boleh menghalang kemasukan udara yang diperlukan oleh mikrob pereput untuk membuat kerja mereka.

 

Pokok yang tumbuh berdekatan dengan longgokan baja akan bersaing dengan mikroorganisma untuk mendapatkan nitrogen. Jika ada pokok berdekatan dengan tong baja, pastikan anda menambah banyak bahan-bahan yang kaya dengan nitrogen untuk mengurangkan kehilangan nutrien.

 

Jika penghasilan baja dilakukan dengan betul, longgokan tersebut sentiasa lembap dan dibalik-balikkan dengan kerap, longgokan itu sepatutnya berbau seperti daun basah atau seperti bau dalam hutan. Ia tidak sepatutnya berbau busuk!

 

Anda sepatutnya mula mendapat humus dalam masa tiga bulan atau kurang. Penghasilan baja kompos ialah satu aktiviti yang mudah dan boleh dijadikan sebahagian daripada rutin harian anda.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai penghasilan baja kompos atau lain-lain isu alam sekitar, sila hubungi TrEES atau telefon 03-7958 7978. TrEES ialah sebuah organisasi alam sekitar tanpa profit.

 





E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2014. Semua hak terpelihara.