A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

ISU SEMASA: Kekeluargaan

Berunding Untuk Mencapai Senario Menang-Menang


Konsept “berunding” sering mengingatkan kita kepada bangunan korporat yang besar dan ahli-ahli perniagaan berkot gelap memandang satu sama lain di meja mesyuarat. Walau bagaimanapun, kita semua sentiasa mengambil bahagian dalam rundingan sebagai satu rutin. Setiap kali kita berbincang, tidak bersetuju dengan sesuatu dan kemudian berkompromi dengan ahli keluarga mengenai di mana hendak makan tengahari pada hari Ahad, kita sebenarnya sedang berunding. Apabila kita bertanya kawan-kawan jadual mereka, dan kemudian bersetuju dengan masa yang sesuai untuk berjumpa untuk minum petang, kita sedang berunding. Dan apabila kita cuba menaikkan bayaran bagi kerja yang kita lakukan atau cuba mengurangkan kos perkhidmatan yang dikenakan, kita sebenarnya sedang berunding.

Jadi, apakah sebenarnya rundingan itu, dan bagaimana kita boleh melakukannya dengan baik supaya kita boleh menyelesaikannya dan merasa bahawa kita telah menang? Sama penting juga, bagaimana kita boleh pastikan bahawa pihak yang satu lagi juga merasakan perkara yang sama?

A. Ciri-Ciri Rundingan Menang-Menang

1. Rundingkan lebih daripada satu isu
Jangan hadkan rundingan anda kepada satu isu sahaja. Jika tidak, satu pihak akan “menang”, dan pihak yang satu lagi akan “kalah”. Rundingan menang-menang ialah rundingan di mana anda cuba mencapai kata sepakat yang membolehkan kedua-dua pihak merasa bahawa kehendak utama mereka telah dicapai. Ini mungkin melibatkan melepaskan beberapa keperluan yang kurang penting demi memenuhi keperluan yang lebih besar. Contohnya, jika salah seorang pelanggan anda mendesak anda menghantar produk anda segera dan anda merasakan bahawa anda tidak boleh memenuhi kehendak mereka, berundinglah supaya isu itu menjadi lebih luas. Anda mungkin setuju untuk menghantar sebahagian daripadanya dengan segera (oleh itu pelanggan anda “menang”) dan selebihnya dihantar selepas selesai produksi (anda mendapat lebih masa yang anda perlukan).

2. Faham isu yang telribat dan jangan mengagak apa-apa
Jangan mengagak yang anda tahu apa yang pihak satu lagi mahu kerana begitu mudah untuk membuat tanggapan yang salah. Contohnya, anda mungkin menganggap bakal pelanggan anda tertarik dengan kualiti produk anda, sedangkan dia mungkin mencari produk yang lebih murah atau rendah sedikit kualitinya. Dalam kata lain, anda cuba menjual sebuah BMW pada seseorang yang hanya memerlukan sebuah Kancil.

3. Hargai perspektif yang berlainan

Cara terbaik untuk menerangkan perkara ini ialah melalui contoh. Anda mungkin berminat membina hubungan perniagaan jangka panjang dengan seorang pembekal, sedangkan dia mungkin hanya mencari peluang sekali sahaja. Jika perbincangan tersekat pada isu seperti harga contohnya, kerana kedua-dua anda mempunyai perspektif yang berlainan, maka carilah aspek-aspek lain yang mungkin boleh membawa kepada satu perjanjian yang diterima oleh kedua-dua pihak, seperti pilihan cara bayaran, kualiti, kecepatan, “barang longgok” dan sebagainya.

B. Faktor Kritikal Dalam Rundingan Menang-Menang

Kuasa
Untuk mencapai rundingan menang-menang yang efektif, anda memerlukan kuasa untuk membuat keputusan, dan begitu juga pihak yang satu lagi. Bayangkan senario ini, anda telah bercakap mengenai satu perjanjian yang adil dengan wakil pembekal anda, dan selepas 6 jam berbincang dan berfikir, dia berkata dia setuju dengan anda tetapi dia masih perlu bertanya pendapat ketuanya! Anda mungkin terpaksa berbincang semula dengan ketuanya, dan ketua ketuanya. Oleh itu, jika isu itu mendesak, tanya jika anda boleh berunding dengan orang yang boleh membuat keputusan. Ini akan menjimatkan masa dan tenaga anda.

Masa
Faktor masa juga dikenali sebagai “adakah anda begitu terdesak?” Jika anda perlukan sesuatu dengan segera dan pembekal anda tahu yang anda terdesak, ini adalah satu kelebihan baginya.

Maklumat
Cuba perlengkapkan diri anda dengan lebih banyak maklumat mengenai organisasi pelanggan anda. Contohnya, adakah mereka pernah mengamalkan pemotongan kos besar-besaran dan adakah mereka sedang mencari alternatif yang lebih murah? Maklumat seperti ini akan memberikan kelebihan kepada anda dalam mencapai penyelesaian menang-menang. Dalam hal ini, anda mungkin boleh menambah satu lagi servis dan menaikkan sedikit bayaran yang sesuai dengan belanjawan pelanggan anda.

C.   Apa Yang Anda Perlukan Untuk Menjadi Perunding Yang Bagus?

1. Keinginan untuk mencapai situasi menang-menang
Jika anda bermula dengan niat untuk menguasai rundingan itu, atau jika pihak yang satu lagi mahu mengambil kesempatan ke atas anda, rundingan menang-menang tidak akan dicapai. Kedua-dua pihak hendaklah mempunyai niat yang ikhlas. Dengan cara ini, keputusan positif yang berfaedah bagi kedua-dua pihak mungkin boleh dicapai.

2. Keinginan untuk belajar, berlatih dan bereksperimen
Kemahiran berunding boleh dipelajari dan diaplikasikan. Dengan latihan, ia kelihatan seperti anda mempunyai keupayaan semulajadi untuk mencapai persetujuan dan membuat semua orang gembira. Anda perlu sentiasa menganalisa cara anda berunding dan mencari jalan dan kaedah di mana anda boleh terus mempertingkatkan kemahiran yang penting ini.

3. Sensitif terhadap orang yang berunding dengan anda
Kita tahu bahawa setiap orang mempunyai personality yang berbeza. Sesetengah orang mempunyai sikap peramah, manakala sesetengah lagi mungkin ragu-ragu dengan motif anda. Sesetengah orang suka berjenaka semasa berunding, manakala sesetengah lagi bersikap serius. Oleh itu, cuba nilai sikap mereka. Baca pergerakan badan – jika dia mengalihkan pandangan dari anda, atau menganjakkan diri dari anda, ini bermakna dia tidak selesa, atas sebab-sebab tertentu. Bertindaklah dengan wajar. Apabila anda berhadapan dengan orang yang tidak minum minuman keras, jangan buat jenaka mengenai kaki botol. Pertimbangan seperti ini akan membantu dalam proses rundingan.

4. Pelbagaikan gerak permulaan (gambit) anda
Dalam kamus, gambit didefinisikan sebagai “gerak permulaan dalam mana-mana keadaan yang dijangkakan akan mendapat kedudukan lebih baik”, “satu pergerakan dalam perlawanan perbualan” atau “gerak permulaan dalam catur dalam mana pemain mengorbankan sesuatu buah untuk mendapat kedudukan lebih baik kemudian”. Apa sahaja cara atau gaya yang anda gunakan dalam proses rundingan, jangan hadkan kepada itu sahaja. Jangan gunakan cara yang sama di “kemuncak” rundingan. Contohnya, anda mungkin mempunyai tabiat berkata “Oh tidak, ini terlalu banyak, saya akan mengalami kerugian pada harga ini” sebelum anda bersetuju dengan diskaun akhir. Jika pihak yang satu lagi tahu tabiat anda, ini akan membolehkan dia mengenakan anda pula. Oleh itu, pelbagaikan gerak permulaan anda dan cubalah perbaikinya.   

Setelah kita bincangkan cirri-ciri penting yang perlu ada pada seorang perunding menang-menang, marilah kita fokus kepada cara berhadapan dengan rundingan yang sukar. Seorang yang bekerja dari rumah mungkin berhadapan dengan pelanggan, pembekal, pekerja dan rakan sekerja yang degil. Oleh itu kemahiran berunding dalam situasi yang sukar akan membantu dalam interaksi ini.

D. Senarai Kemahiran Bagi Rundingan Sukar

1. Asingkan orang yang berunding dengan masalah yang dihadapi
Cuba letakkan diri anda di tempat orang yang berunding dengan anda. Dengar dengan aktif dan bincangkan persepsi anda mengenai masalah itu. Tanpa anda sedari, anda mungkin salah faham tentang situasi itu. Elakkan dari membuat kenyataan am seperti “kerja awak sentiasa tidak kemas” atau “awak selalu tidak boleh diharap”.

2. Guna kriteria yang objektif
Bekerjasamalah dengan mereka dalam mencapai satu standard atau kaedah yang adil di mana kerja, perkhidmatan dan masalah boleh dinilai dan diperbaiki.

3. Gunakan masa lalu hanya untuk menuju masa depan
Jika anda perlu merujuk kepada masa lalu, rujuklah hanya supaya anda faham sesuatu corak atau gaya, kemudian gunakan pengetahuan ini untuk mencari langkah yang konstruktif. Jangan terus mengungkit tentang perkara yang telah berlaku bertahun-tahun dahulu. Hadapilah situasi terkini dan melangkah ke hadapan.





E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2014. Semua hak terpelihara.