A network of homemakers and homeworkers
Daftar Profil  Log in to check your private messages  Log Masuk

ISU SEMASA: Kekeluargaan

Memahami Kanak-Kanak Istimewa (Bahagian 1)

by Colorado State University Cooperative

Setiap kanak-kanak adalah istimewa dan berbeza antara satu sama lain. Seperti juga kanak-kanak yang berambut merah atau bermata biru, ada kanak-kanak yang mempunyai sebelah tangan sahaja, ada yang bergantung kepada bantuan pendengaran, atau menggunakan pendakap. Sesetengah kanak-kanak adalah istimewa kerana mereka boleh bermain dan mencipta muzik semasa mereka masih kecil, dan ada juga yang istimewa kerana mereka hidup dengan gembira walaupun terpaksa berhadapan dengan penyakit berbahaya atau kecacatan.

Kanak-kanak istimewa ada di sekeliling anda. Mereka mungkin tinggal bersebelahan dengan rumah anda atau tinggal di rumah di hujung jalan. Mereka mungkin pergi ke sekolah dengan anda. Ada di antara mereka yang boleh berenang, berlari, menyanyi atau membuat pelbagai perkara sama seperti yang anda lakukan. Kanak-kanak yang mempunyai keperluan tertentu ini mungkin juga merupakan rakan anda, jiran, abang, adik, ataupun diri anda sendiri. Mereka ini perlukan apa yang anda juga perlukan, iaitu kasih sayang dan penerimaan.

Kanak-kanak genius dan kanak-kanak kurang upaya mempunyai satu persamaan. Mereka semua memerlukan didikan dan perhatian yang istimewa.

Siapakah Kanak-Kanak Istimewa?

Kanak-Kanak Kurang Upaya. Mereka yang mempunyai keupayaan yang terbatas, dari segi fizikal, intelektual, emosi, atau perkembangan sosial. Pembelajaran dan aspek perkembangan mereka yang melibatkan lebih dari satu perkara mungkin terganggu.


Kanak-Kanak Genius. Kanak-kanak genius seringkali ditafsirkan sebagai mereka yang berketerampilan dalam bidang sukan, akademik, muzik, seni dan kepimpinan.


Seperti juga kanak-kanak lain, kanak-kanak istimewa membesar seperti manusia biasa dan perkembangan mereka melibatkan empat bahagian penting iaitu fizikal, intelektual, emosi dan perkembangan sosial.

  • Perkembangan fizikal bermaksud perkembangan tulang, otot, gigi dan lain-lain bahagian badan kanak-kanak.
  • Perkembangan intelektual bermaksud tumbesaran otak dan keupayaan kanak-kanak itu untuk berfikir, mengingat, dan menyelesaikan masalah.
  • Perkembangan emosi melibatkan apa yang mereka rasai mengenai diri mereka.
  • Bagaimana kanak-kanak bermain, bekerja dan berinteraksi dengan orang lain dipanggil perkembangan sosial.

Kanak-kanak kurang upaya dan kanak-kanak genius mempunyai bahagian perkembangan yang berbeza daripada biasa.

Kanak-Kanak Kurang Upaya
Kanak-kanak kurang upaya membesar sebagai manusia biasa. Adalah satu kesilapan jika kita hanya menumpukan kepada ketidakupayaan kanak-kanak itu sahaja. Jika anda sebagai seorang penjaga, hanya belajar mengenai apa yang tidak dapat dilakukan oleh kanak-kanak itu, anda rugi kerana tidak belajar mengenai apa yang boleh mereka lakukan. Ingat, apa yang paling penting ialah kanak-kanak itu, bukan kecacatannya.

Biasanya, kanak-kanak kurang upaya akan belajar untuk menyesuaikan kehidupan dengan kecacatan mereka. Contohnya, apabila anda menyeberang jalan, anda menggunakan mata untuk mengenalpasti masa yang selamat untuk melintas. Kanak-kanak buta tidak nampak bila masa yang sesuai untuk melintas. Walau bagaimanapun, mereka boleh menggunakan daya pendengaran untuk mendengar bunyi tayar dan enjin kenderaan dan menggunakan hidung untuk menghidu bau petrol dan asap. Deria pendengaran dan bau boleh memberitahu mereka bilakah masa yang selamat untuk menyeberang jalan. Kanak-kanak buta juga boleh menggunakan tongkat dan anjing terlatih untuk menggantikan deria penglihatan mereka.

Contoh-contoh lain adalah seperti apabila kanak-kanak kurang upaya belajar menggunakan kaki dan jari-jari kaki mereka untuk membuat kerja-kerja yang biasanya dilakukan dengan tangan dan jari-jari tangan; atau apabila kanak-kanak kurang upaya belajar membaca pergerakan bibir dan bercakap menggunakan bahasa isyarat kerana mereka tidak boleh mendengar mahupun bercakap.

Kelakuan-kelakuan ini pada mulanya mungkin kelihatan aneh bagi anda. Ini adalah perkara biasa. Kanak-kanak kurang upaya menggunakan peralatan tertentu atau bahagian badan yang lain untuk membolehkan mereka bermain, bercakap, bekerja dan hidup seperti kita juga. Menggunakan sesuatu yang lain untuk menggantikan bahagian badan yang cacat dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka.

Sebagai seorang penjaga, anda boleh membantu kanak-kanak kurang upaya ini dengan menerima mereka seadanya, dan menggalakkan mereka membuat sesuatu bagi diri mereka sendiri. Kanak-kanak kurang upaya perlu diperlakukan sebagaimana anda memperlakukan kanak-kanak lain.

Kanak-Kanak Genius
Kanak-kanak genius juga membesar sebagai manusia biasa. Adalah satu kesilapan bagi kita menumpukan hanya kepada kecerdikan minda atau bakat luar biasa mereka sahaja. Jika anda sebagai seorang penjaga, hanya belajar mengenai perkara-perkara luar biasa yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak ini, anda rugi kerana tidak belajar mengenai sebahagian daripada hidup mereka yang sama seperti kita. Kanak-kanak genius seringkali merasakan bahawa mereka dikasihi hanya kerana mereka cerdik atau berbakat. Kadangkala rakan-rakan, keluarga dan penjaga tidak berpeluang untuk memberitahu mereka bahawa mereka dikasihi kerana mereka suka berlari, berenang, bermain, atau bergelak ketawa seperti orang lain.

Apabila kanak-kanak genius ini diberi lebih perhatian kerana mereka lebih bijak dan lebih kreatif daripada kanak-kanak lain, mereka merasa diri mereka berbeza. Kadang kala kanak-kanak yang tidak suka merasa diri mereka berbeza akan cuba menyembunyikan kelebihan mereka. Sepertimana kanak-kanak kurang upaya yang menggunakan bahagian badan atau alat-alat lain supaya jurang perbezaan dengan kanak-kanak lain dapat dikurangkan, kanak-kanak genius juga cuba mengurangkan jurang perbezaan ini, tetapi dengan cara menyembunyikan kelebihan mereka. Cara ini diistilahkan sebagai kompensasi. Bagi kanak-kanak kurang upaya, kompensasi adalah berguna dalam kehidupan mereka, tetapi ianya boleh merosakkan bagi kanak-kanak genius. Ia biasanya menyebabkan kanak-kanakgenius ini menafikan kebolehan dan bakat mereka supaya mereka boleh bergaul dengan kanak-kanak sebaya yang lain. Penafian ini boleh menjurus kepada perasaan putus asa, bosan dan rendah keyakinan diri.

Sebagai seorang penjaga, anda boleh membantu kanak-kanak genius ini membesar dengan yakin dengan menerima mereka seadanya, dan memperlakukan mereka sepertimana anda memperlakukan kanak-kanak lain. Ingat, apa yang paling penting ialah kanak-kanak itu, bukannya kebolehan mental atau bakat mereka.

 

Diterbitkan semula dengan kebenaran dari National Network for Child Care - NNCC. Lagoni, L. S., Martin, D. H., Maslin-Cole, C., Cook, A., MacIsaac, K., Parrill, G., Bigner, J., Coker, E., & Sheie, S. (1989). Good times with special children. In *Good times with child care* (pp. 58-81). Fort Collins, CO: Colorado State University Cooperative Extension.

 





E-mail This Page to Your Friend
CARI
 

Inginkan kerja sambilan, telekerja? Klik disini.

Kunjungilah e-Store untuk maklumat lanjut.

Perkhidmatan PJ POINT  untuk pekerja di rumah.

Hak Cipta © Corpcom Services Sdn Bhd 2014. Semua hak terpelihara.